Doa adalah senjata mukmin yang paling ampuh.
Dalam surah Al-Ghaafir ayat 60, Allah SWT mengkhabarkan berita gembira kepada hamba-Nya yang sentiasa berdoa dan memohon sesuatu hajat dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.’”
Dan perkongsian kisah Mahanom Mohammad di laman media miliknya memberikan inspirasi bagaimana kebaikan boleh datang dalam pelbagai bentuk dan kuasa doa yang datang dari hati yang ikhlas membawa kenikmatan apa yang dikecapi hari ini.
Ulasnya, kemunculan seorang gadis berusia awal 20-an bagi membantunya menuruni tangga dengan bagasi beroda cukup meringankan beban lantaran tangga eskalator yang tidak berfungsi. Malah bantuan tanpa mengharap balasan dan hanya berharap kepada doa cukup terkesan di hatinya.
“Minggu lepas, di KL Sentral, saya singgah di surau tingkat bawah.
Selepas selesai solat, saya keluar mengheret beg beroda menuju ke eskalator untuk ke lantai atas.
Sampai di eskalator, terdapat pula satu papan kerja menunjukkan eskalator itu tidak berfungsi.
Lalu saya pilih untuk menggunakan tangga sahaja.
Sedang saya cuba mengangkat beg pakaian, lalu seorang wanita muda, di awal umur 20-an.
“Puan, mari saya bantu angkatkan beg.”
“Tak apa dik, saya boleh.”
Sebenarnya saya sedikit gusar kerana wanita itu asing bagi saya dan dalam beg tersebut pula ada barangan berharga seperti laptop, tab, charger hp, charger laptop, charger tab dan nota-nota penulisan saya.
Buatnya dia terus ghaib dengan beg tersebut, macam mana pula.
“Tak apa puan, mari kita angkat sama-sama. Puan locklah beg puan tu.”
Eh. macam dia boleh baca pula apa yang bermain dalam fikiran saya. Apapun memang beg itu saya sudah kunci ketika mahu mengerjakan solat tadi.
Supaya wanita muda itu tidak terasa, saya alihkan beg tersebut di sebelahnya, tanda bersetuju dia sama-sama bantu menjinjing beg tersebut.
Lagipun, bila sudah separuh tangga, memang tenaga saya semakin berkurangan.
Maka kami sama-sama mengangkat beg tersebut hingga sampai di lantai atas.
“Okay ya puan. Hati-hati.” Lalu melangkah pergi meninggalkan saya.
“Dik, terima kasih banyak-banyak. Is there anything i can pay back your kindness?”
“Tak apa puan, doakan saja saya.”
Saya berhenti beberapa saat.
“Ya Tuhan, berilah ilham apakah doa terbaik untuk hambaMu yang baru membantuku?”
Kemudian datang satu lintasan.
Lalu saya berdoa. Dan tak pernah pun saya terlintas untuk berdoa sebegini pada orang asing yang saya baru berjumpa.
“Ya Allah, tunaikanlah apa saja hutang atau masalah kewangan yang terbeban di atas bahunya.”
Kita tidak pernah tahu apakah cerita yang ada pada setiap manusia yang kita berjumpa. Kadang kita nampak wajak seseorang yang ceria seolah tiada masalah tanpa mengetahui bebanan yang perlu dipikulnya setiap hari.
Saya pernah belajar, doa terbaik adalah apabila orang yang kita doakan itu tidak tahupun kita mendoakan mereka. Terutama doa itu datang seikhlas hati.
Tidak rugi berbuat baik pada sesama manusia. Memudahkan urusan manusia lain dan cuba tidak menyakiti hati manusia lain juga.
Kadang kala kita tidak tahu siapa yang doakan kita dan kenikmatan yang kita kecapi saat ini, mungkin hasil dari doa orang lain yang dimakbulkan.
Berbuat baiklah sesama sendiri. Spread love and kindness.

