Entah apa yang menarik pada wanita itu. Dari tadi, pandangan mata, seolah-olah tidak mahu melepaskan jelingan ke arah wanita yang duduk bersimpuh di sudut dinding di sebuah pusat rawatan.
Dia bukanlah cantik sangat sehingga tidak akan berkelip mata memandang apatah lagi tidak jemu untuk merenungnya. Dia hanya wanita biasa. Tapi kerlingan mata ini tidak dapat menipu, kenapa dia? Walhal banyak lagi wanita-wanita lain yang berkunjung ke tempat tersebut.
“Masuk,” saya dijemput oleh Sharhan Safie, Penasihat Perubatan Islam Sinar Zamdurrani. Sebaik saya menguakkan pintu, sekali lagi mata tertumpu pada wanita itu yang sedia ada di dalam bilik ustaz Sharhan.
“Kenalkan, ini Shima dari majalah Al Islam,” Sharhan memulakan bicara.
Wanita itu antara malu dan resah, tersenyum tawar sambil memalingkan muka kepada saya. Mungkin dia juga tertanya-tanya mengapa saya turut dijemput masuk ke dalam bilik tersebut.
“Hani, saya akan ubati awak dan saya tidak akan mengenakan sebarang bayaran sekiranya awak boleh bekerjasama dengan saya untuk berkongsi cerita. Mudah-mudahan, masyarakat di luar sana akan ambil iktibar dari cerita awak.”
“Awak kena tolong saya dan saya boleh tolong awak,” jelas Sharhan sebelum memulakan bicara.
Hani diam seketika. Antara setuju atau tidak mahu membenarkannya. Lama dia terdiam.
“Saya setuju ustaz” Hani memberikan persetujuan dengan anggukan yang lemah. Maka bermulalah langkah seterusnya. Memulihkan Hani!
Hani diarahkan untuk mengambil wuduk. Begitu juga dengan Sharhan yang turut melakukan perkara yang sama. Setelah bersedia, Sharhan mengarahkan Hani meletakkan bibir atasnya ke dalam pinggan yang berisi air zamzam. Manakala bibir bawahnya diletakkan di luar pinggan bertujuan memberi ruang pernafasan kepada Hani. Bahagian muka Hani dimasukkan keseluruhannya ke dalam air zamzam di dalam pinggan tersebut.
Sebaik hani mengikut arahan yang diberikan, Sharhan meneruskan rawatannya. Kali ini dia meminta Hani untuk mendengus seolah-olah ingin membuang hingus dan menekan pangkal lidahnya seolah-olah seperti mahu berkahak.
Dalam pada itu, Sharhan terus menuangkan air zamzam ke atas kepalanya sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan ayat-ayat al-Quran.
Selesai bacaan ayat-ayat tersebut, Hani diarahkan mengangkat mukanya. Dan di sebalik kejernihan air zam-zam itu, ada benda yang berkilau-kilau.
“Apa itu ustaz,” saya mula bertanya. Sambil mata memandang, dalam hati saya mula mengira beberapa batang jarum berwarna emas yang jelas kelihatan dalam pinggan tersebut.
“Ada empat semuanya,”getus hati saya.
“Itulah susuk!”, jelas Sharhan selamba. Saya yang tidak pernah melihatnya, tercengang-cengang. Dalam hati berkata,
“Ooo.. macam ni rupanya susuk.” Itulah kali pertama saya melihat susuk.
Melihat keadaan saya yang agak kehairanan, Sharhan berkata, “
Susuk ini dari emas. Dan setiap susuk itu ada jin yang menjaganya. Makin banyak susuk itu dimasukkan ke dalam badan, makin banyaklah ‘duta-duta jin’ yang menjaganya,”
“Apa fungsi jin-jin tersebut?”. Tanya saya.
Jawab Syarhan “Sebab itu bila ada orang memandangnya, orang akan tertarik. Itulah peranan jin-jin tersebut,” Dan itulah yang berlaku kepada Hani.
Bisikan syaitan itu mengganggu saya!
Saya menyesal. Kerana kebodohan, saya terperangkap. Semuanya salah saya kerana tidak mahu mendengar nasihat ibu bapa. Saya nak jadi cantik. Dalam usia 19 tahun, keinginan untuk cantik membuak-buak dalam dada. Entah apa yang merasuk saya ketika itu. Mungkin juga melihat kawan-kawan yang hidup mewah hanya kerana cantik. Hati nekad meninggalkan rumah. Di rumah kawan di bandar raya Kuala Lumpur, saya menumpang teduh, dan di situlah segala-galanya bermula. Begitu kata hani berkongsi cerita.

Suatu hari, Rita kawan serumah memujuk supaya saya menggunakan susuk untuk kelihatan lebih menarik. Katanya, dengan panahan susuk, saya akan menjadi perhatian orang. Dan waktu itu, apa sahaja permintan saya akan ditunaikan.
Saya mula berangan-angan walaupun dalam hati, rasa takut itu tetap ada. Namun perasaan itu dibuang jauh-jauh kerana yang lebih penting, duit yang melimpah ruah pasti menanti.
Tanpa memikir panjang saya memulakan percubaan pertama saya. Lima batang susuk menjadi taruhan. Ternyata tidak mengecewakan. Pujian dari kawan-kawan membuatkan saya terleka. Bukan itu sahaja, orang lelaki mula tertarik dengan saya. Dan waktu itulah saya mula mengambil kesempatan.
Lalu satu lagi pujukan untuk menambah susuk yang sedia ada dalam badan, saya setujui tanpa ada bantahan. Siapa tidak mahu kalau itu boleh membantu memenuhkan poket yang kosong. Waktu itu saya beranggapan, setiap susuk yang ditanam dalam badan saya, akan hancur jua akhirnya apabila sudah lama. Ternyata sangkaan saya salah.
Lima tahun berlalu. Saya dapat apa yang saya kehendaki. Kecantikan? Wang ringgit? Usah cakap! Hanya perlu petik jari. Itulah kehidupan yang saya lalui. Namun ada satu perkara yang tidak boleh saya tahan. Nafsu seks saya seolah-olah tidak boleh dikawal. Saya mula mencari-cari siapa mangsa saya seterusnya.
Suatu pagi tatkala jaga dari tidur, entah kenapa saya mula memikirkan, sampai bila harus berlaku? Usia masih muda namun tiada hala tuju. Saya membuat keputusan untuk berkahwin dan memulakan hidup baru dengan status yang baru iaitu sebagai seorang isteri.
Namun perkahwinan yang saya tempuh tidak menjanjikan kebahagiaan. Lelaki yang saya pilih, langsung tidak mahu membimbing saya. Soal agama? Lupakan. Dia juga serupa macam saya. Malah pernah memberitahu saya, supaya susuk yang saya pakai terus kekal dalam badan agar saya kelihatan cantik selamanya.
Membina sebuah mahligai perkahwinan, siapa yang tidak mahu menerima kehadiran zuriat. Namun saya pelik, setiap kali mengandung, kandungan saya gugur. Suami mula bosan. Dia tidak lagi menyentuh saya. Saya gersang dan terus mencari. Dan sekali lagi, langkah kaki ini terus mencari jalan yang lama untuk memuaskan nafsu saya!
Hari yang saya lalui, tidak berubah. Sekalipun berstatus isteri, namun kegiatan lama saya sukar untuk dibuang. Saya mula mencari-cari apa lagi yang kurang. Saya buka almari dan waktu mata saya terpandang telekung dan sejadah yang telah lama tidak saya sentuh.
Tersentap perasaan saya waktu itu. Tangan saya menggigil. Badan saya berpeluh. Saya terus menuju ke bilik air. Waktu itu badan mula terasa panas. “Ya Allah,” kalimah itu lantas keluar dari mulut setelah sekian lama saya tidak menyebutnya. Dengan tangan yang menggigil saya cuba mengingati semula cara untuk mengambil wuduk.
Tiba-tiba satu bisikan kedengaran. “Jangan ambil wuduk. Nanti tanggal semua susuk-susuk yang kau pakai. Kau tak nak cantik ke? Tak cukupkah lagi apa yang kau dapat selama ini? Sanggupkah kau buang semua ini dalam hidup kau? Jangan takut. Aku akan bantu kau”.
Tergamam seketika. Namun saya kuatkan semangat untuk terus mengambil wuduk. Setelah selesai, saya mencapai telekung di dalam almari. Sekali lagi bisikan itu datang. Kali ini menghalang saya untuk solat. Badan saya terasa amat berat. Dan saya terus kalah.
Keesokannya, saya mula mencari maklumat, bagaimana saya boleh membuang semua susuk yang tertanam dalam badan ini. Saya terjumpa maklumat Perubatan Islam Sinar Zamdurrani. Saya gagahkan diri menelefon walau dalam hati masih berbolak-balik.
Dan hari ini, pertama kali saya datang setelah setahun saya menantikan saat ini. Namun seketika tadi, masih ada suara bisikan yang menghalang saya tatkala diarahkan oleh ustaz Sharhan untuk mengambil wuduk. Mudah-mudahan, tindakan saya ini akan dapat mengubah hidup saya suatu hari nanti. Semoga ada sinar dihadapan
Oleh: Nur Hasyimah Othaman, Bekas wartawan al-Islam bercerita pengalamannya
______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

