Solat Jumaat: Adakah hukum (rukhsah) keringanan ibadah di zaman lalu sesuai diamalkan di zaman kini?

Dari Penulis

Menurut pandangan ulama, bukan sahaja beberapa pekerjaan dibolehkan untuk meninggalkan solat Jumaat, sebaliknya terdapat banyak keadaan yang membolehkan solat Jumaat ditinggalkan. Antaranya hujan yang lebat, membuang hajat besar, makan kerana tersangat lapar, pitam, sakit yang terlantar hingga tidak mampu bangun dan lain-lain. Jadi, harus meninggalkan solat Jumaat kerana keuzuran tersebut.

Menurut Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sememangnya terdapat banyak lagi keadaan-keadaan yang dibolehkan untuk seseorang itu meninggalkan solat Jumaat sama ada berturut-turut atau tidak.

Ia berdasarkan pandangan para ulama dalam menjelaskan hukum berkaitan meninggalkan solat Jumaat. Menurut imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’, keuzuran itu boleh berlaku andainya seseorang itu takut dizalimi oleh seseorang sama ada raja yang zalim, pemungut hutang atau sesiapa sahaja. Begitu juga jika sedang masak di dapur dan tiada siapa untuk menjaga masakan tersebut.

Manakala dalam kitab Mughni al-Muhtaj menyebut, gugur kewajipan melaksanakan solat Jumaat kerana menguruskan jenazah yang akan busuk jika lewat diuruskan. Sedangkan menurut imam ar-Rafie di dalam kitab at-Tatimmah, keuzuran itu boleh berlaku andainya seseorang terkurung dalam penjara selama mana ia ada di dalam kurungan.

Imam as-Syirazi pula berpendapat, antara keuzuran yang membolehkan seseorang itu meninggalkan solat Jumaat ialah, hujan yang lebat, laluan berlumpur, makanan yang terhidang sedang ia merasa begitu lapar, menahan kentut, kencing atau berak, menjaga kaum keluarga yang sakit atau nazak, dan juga merasa takut berlaku sesuatu yang tidak baik pada harta atau dirinya.

Artikel berkaitan: Disebabkan pekerjaan ini saya terpaksa tinggalkan solat Jumaat, ini jawapan Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan yang dinyatakan, mereka yang ditugaskan bekerja pada waktu solat Jumaat dan tidak boleh ditinggalkan atau digantikan, maka ia termasuk dalam keuzuran yang diharuskan syarak. Maka ia hanya perlu digantikan dengan solat zohor.

Namun begitu, hendaklah diingat, mereka yang ditugaskan pada waktu itu janganlah bercita-cita atau mengharapkan supaya bertugas pada waktu solat Jumaat, atau sengaja mencipta darurat supaya mendapat kelonggaran yang diberikan.

Menjadi kewajipan majikan untuk mencari jalan yang terbaik bagi mengaturkan jadual pekerja supaya tidak terhalang dari menunaikan solat Jumaat. Ia sama ada digantikan dengan mereka yang bukan Islam atau golongan wanita. Seandainya mereka semua wajib menunaikan solat Jumaat, maka buatlah giliran agar tidak berturut-turut meninggalkannya.

Rukhsah dalam Islam

Apabila menyentuh tentang rukhsah, timbul persoalan, bagaimana Islam meletakkan rukhsah dan darurat itu sesuai dengan zaman kini? Jika dilihat kebanyakan rukhsah yang diberikan adalah kerana kemaslahatan di zaman tersebut yang serba kekurangan. Jadi adakah zaman kini, kelonggaran itu masih praktikal diaplikasikan?

Contohnya, pada zaman dahulu tidak banyak masjid seperti sekarang. Maka solat jamak dan qasar memang praktikal diamalkan. Tapi kini masjid banyak ditemui. Maka adakah tidak perlu lagi solat jamak dan qasar? 

Dr. Wifaq menjelaskan,  terdapat beberapa rukhsah yang perlu dilakukan sesuai dengan apa yang telah didalilkan. Ini kerana rukhsah itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada hambanya. Kita tidak melihat zaman sebagai satu yang menghalang kelonggaran itu diberikan. Terdapat dalil yang perlu diikut secara qat’inya sebagaimana contoh di atas.

Walaupun masjid banyak, atau jarak perjalanan yang singkat seperti menaiki kapal terbang, berkereta dan sebagainya, namun kita lihat kepada keadaan mendesak bagi orang yang bermusafir. Ini kerana seorang musafir itu banyak kemaslahatannya. Maka solat jamak dan qasar tetap perlu dilakukan seperti hadis Nabi s.a.w yang menyebut,

Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh-Nya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepada-Nya.” (HR Ahmad)

Berbeza dengan beberapa keadaan seperti hujan untuk melaksanakan solat Jumaat. Jika dahulu pakaian yang diguna adalah dari kulit binatang, maka sekiranya basah akan menghasilkan bau sehingga menimbulkan ketidakselesaan bagi si pemakai dan orang di sekelilingnya.

Begitu juga keadaan tanah waktu tersebut, jika hujan maka tanah akan berlumpur dan berselut. Ini menimbulkan kesulitan untuk melaksanakan solat Jumaat. Dengan sebab itulah maka dibolehkan untuk tidak menghadiri solat Jumaat.

Akan tetapi keadaan kini sudah berubah. Dengan adanya kemudahan payung dan kereta, serta jalan yang bertar, maka kelonggaran yang diberikan itu tidaklah boleh diamalkan dengan sesuka hati. Melainkan jika sudah tiada ikhtiar lain seperti tiada kenderaan untuk ke masjid atau hujan yang sangat lebat. Sekiranya pergi juga, akan menyebabkan ketidakselesaan pada diri dan jemaah, maka itu yang dibolehkan. 

Sama juga dengan solat dan ibadah yang lain. Jika ia tidak mendatangkan kemudaratan yang maksimum pada diri, maka sebaiknya laksanakan ia sesuai dengan apa yang telah difardukan. Akan tetapi jika ia mendatangkan banyak kemudaratan dan tiada lagi ikhtiar yang boleh dilakukan, maka di sinilah Islam membolehkan kelonggaran itu dilaksanakan. Wallahu a’lam

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This