Katarak di kalangan kanak-kanak. Punca dan tanda-tanda awal yang ibu bapa kena awasi

Dari Penulis

Katarak, glaukoma, diabetik retinopati, kecederaan mata (truma), amplyopia (mata malas) dan ralat refraktif adalah antara penyakit yang berkaitan dengan mata.

Mata, salah satu anggota manusia yang sangat penting kerana deria inilah yang mampu memberikan kita melihat dan mentafsir imej yang kita lihat. Seperti mana sebuah kamera begitu jugalah fungsi mata.

Katarak adalah salah satu penyakit mata yang dikaitkan dengan proses penuaan. Justeru ia sering kali berlaku di kalangan warga emas kerana penyakit ini merupakan salah satu tanda penuaan seperti rambut beruban.

Namun masalah ini tidak terkecuali turut dialami oleh kanak-kanak mahupun bayi. Ini dikatakan keadaan yang agak luar biasa dan ia boleh berlaku seawal kelahiran bayi berkenaan. Katarak di kalangan kanak-kanak juga boleh berlaku akibat trauma; misalnya kemalangan Ketika sedang bermain dan sebagainya.

Penyakit ini boleh menjejaskan penglihatan dan boleh menyebabkan pesakit menjadi buta sekiranya tidak dirawat dari peringkat awal. Katarak boleh berlaku pada sebelah mahupun kedua-dua belah mata. Mata yang normal mampu melihat objek dengan jelas tetapi apabila berlakunya katarak, pandangan akan menjadi kabur, melihat objek seperti bergoyang atau menjadi dua dan tidak mampu melihat objek berwarna dengan jelas dan lama-kelamaan ia seperti berwarna kuning.

Kanta mata berfungsi untuk memberi fokus cahaya yang masuk ke dalam mata dan membentuk imej pada retina. Penyakit katarak menghalang cahaya masuk ke dalam mata dan menyebabkan imej yang kabur terhasil pada retina mata.

Penyakit ini sebenarnya boleh dirawat dan masih ada harapan untuk pulih. Apabila ia melibatkan bayi atau kanak-kanak ibu bapa sering kali takut atau tidak yakin untuk mendapatkan rawatan. Antara pandangan skeptikal yang sering kali menghantui ibu bapa yang mempunyai anak yang diagnosis katarak adalah mereka takut anak mereka menjadi buta.

Lebih awal pembedahan dilakukan ia memberi harapan yang baik untuk mereka pulih. Sekiranya ibu bapa menangguhkan rawatan ia boleh memudaratkan lagi penyakit ini dan boleh menyebabkan mata malas atau amplyopia.

Kanak-kanak yang menghidap mata malas hanya boleh mengenali objek yang besar dan ini akan mengganggu proses pembelajaran sama ada kebolehan menulis dan juga membaca.

PUNCA
☛ Kongenital (semasa di dalam kandungan)
☛ Penuaan
☛ Kecederaan mata atau trauma
☛ Diabetes
☛ Jangkitan mata
☛ Radang mata
☛ Pengambilan ubat steroid

TANDA-TANDA

Dalam keadaan normal, seorang bayi tidak sepatutnya mengalami masalah katarak. Namun sebilangan kecil bayi lahir dengan masalah tersebut berpunca daripada ibu yang mempunyai jangkitan kuman rubella. Bayi itu juga berisiko untuk mendapat penyakit lain seperti jantung ataupun pekak (sebahagian daripada komplikasi akibat rubella).

Pesakit yang mengalami masalah katarak pada kedua-dua belah mata biasanya mempunyai sejarah keluarga atau pun penyakit yang lain. Ini boleh dikaitkan dengan kelahiran pramatang dan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis dan sebagainya.

Di kalangan bayi, kes ini boleh dikatakan jarang berlaku namun masalah ini jika tidak dirawat boleh menjejaskan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.

Dalam sesetengah kes, bayi yang mendapat katarak agak sukar untuk dikesan kerana pada awal usia mata masih dalam keadaan normal. Bagaimanapun penyakit ini semakin berkembang (tanpa disedari oleh ibu bapa atau penjaga) sehinggalah usia menjangkau setahun atau lebih, barulah selaput putih tersebut akan kelihatan.

Adalah penting bagi ibu untuk memastikan pandangan mata bayi mereka fokus terhadap objek yang dilihat. Apabila sedang menyusukan bayi, cuba renung ke matanya.

Anda mungkin tidak menyedari pada bayi yang baru lahir tetapi jika bayi sudah berusia tiga bulan, dia sepatutnya memandang tepat pada mata ibunya. Jika mata bayi tadi melihat ke tempat lain, bermakna dia tidak fokus. Sekiranya berlaku keadaan seperti ini segeralah berjumpa dengan pakar mata.

Anak-anak yang menghidap penyakit ini berkemungkinan besar penglihatan mereka akan menjadi kabur dan terhad. Mereka sukar untuk mengenali objek yang kecil dan halus. Biasanya kanak-kanak dengan gejala ini menunjukkan silau pada cahaya matahari dan mengalami perkembangan fizikal yang perlahan berbanding dengan kanak-kanak yang lain.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This