Iktibar kisah Syamsul Yusuf, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri titip pesan. Hindar emosi, hidup medan ujian

Dari Penulis

Kontroversi perkahwinan yang berlaku baru-baru ini cukup terkesan di hati masyarakat Malaysia, rata-rata meluahkan ketidakpuasan hati di media sosial di atas tindakan selebriti terlibat. Malah tidak kurang melontarkan kata-kata berbaur emosi dan kejian di atas apa yang berlaku.

Isu ini turut mendapat perhatian Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyifatkan apa yang berlaku sebagai pedoman dan pengajaran buat semua. Ikuti perkongsiannya.

“Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Sejujurnya saya tergerak untuk mengemukakan sedikit nasihat. Bukanlah ingin membuktikan saya lebih mengetahui, tetapi sekadar ingatan bersama berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Saya lafazkan ‘أستغفرُ اللهَ وأتوبُ إليهِ’. Mudah-mudahan kita beroleh sedikit panduan dan pedoman.

Saya mulakan nasihat ini seperti berikut:

Agama itu adalah Nasihat

Ini selaras dengan firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ ‎

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.”

(Surah al-Asr: 3)

Imam al-Tabari berkata: Maksud saling berpesan dengan kebenaran itu adalah mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)

Kita mahukan apa yang terzahir adalah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Begitulah yang ditafsirkan oleh Sayyid Qutb Islam pada ayat di atas. Allah SWT mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/521). Begitulah besarnya peranan nasihat.

Daripada Tamim al-Dari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Tentang siapa? Sabda Baginda: Tentang Allah, tentang Kitab-Nya, tentang Rasul-Nya, tentang pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944) dan al-Nasaie (7/156)

Nasihat tentang-Nya adalah nasihat untuk beriman kepada-Nya, mengikut segala titah perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Nasihat tentang kitab-Nya adalah nasihat supaya menurut segala panduan Allah SWT dalam kitab-Nya.  Nasihat tentang Rasul-Nya adalah nasihat untuk mengutamakan segala perbuatan, perkataan, dan pengakuan Rasulullah SAW sebagai role model dalam hidup. Manakala nasihat tentang pemimpin dan masyarakat adalah nasihat untuk kedua-duanya saling berperanan; peringatan untuk pemimpin agar memimpin dengan adil dan masyarakat untuk mematuhi pemerintah dengan sebaiknya selagi masih dalam hal-hal yang dibenarkan syarak.

Ibn Hajar menyatakan: Nasihat kepada orang Islam keseluruhannya bermaksud, antaranya menunjukkan jalan bagi mereka (masyarakat Islam) bagi keperluan mereka dalam urusan akhirat dan dunia, menghalang mudarat daripada kena pada mereka, mendatangkan kebaikan kepada mereka, menyuruh mereka berbuat kebaikan, menegah mereka daripada kemungkaran dengan cara yang sesuai pada tempatnya, mencintai suatu yang baik bagi diri mereka perkara yang dia cintai bagi diri sendiri, dan membenci suatu perkara yang buruk ditimpa kepada mereka seperti mana jika berlaku pada diri sendiri, menyeru mereka untuk berakhlak dengan apa yang termasuk dalam erti kata nasihat dengan mengikut petunjuk generasi Salafussoleh R.Anhum. Bahkan ada sebahagian salaf yang bersungguh-sungguh melakukan nasihat sehingga tergadai kepentingan dunia mereka sedangkan mereka tidak kisah.” (Lihat al-Fath al-Mubin 1/257)

Kepada keluarga semua pihak yang terlibat, wajib untuk kita beriman dengan qadha’ dan qadar. Ingatlah firman Allah SWT:

 وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.”

Surah al-Baqarah (216)

Ibn Kathir berkata: Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya..Allah yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita. Allah yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573)

Ini bersyaratkan dengan redha dan patuh kepada perintah Tuhan dan Rasul, buat mengikut kehendak-Nya dan menghindarkan hanya beriman dengan emosi dan perasaan. Kenyataan ini ditegaskan oleh tokoh tasawuf, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:

سَوَابِقُ الهِمَمِ لَا تَخْرِقُ أَسْوَارَ الأَقْدَارِ

Maksudnya: “Segala cita-cita terdahulu itu tidak boleh mencarikkan segala kota takdir.”

Ia membawa maksud bahawa sesuatu yang ditentukan Allah SWT sejak azali tidak boleh diubah dengan apa-apa jua pun termasuk kekuatan azam hati. (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 1/22)

Antara tindakan kita, lihatlah ke hadapan dengan penuh optimis dan keyakinan yang tinggi. Jarakkan diri dari bersifat pesimis. Jika diberi segelas air limau yang masam, usahlah berang. Tambahkan gula secukup rasa, ukirkan senyuman yang terindah tanda terima kasih atas pemberian. Jadilah ia segelas air limau yang menyegarkan, manis dan mendamaikan bila diteguk. Justeru, kitalah yang akan mewarnai kehidupan kita untuk menuju kebahagiaan.

Sikap kita semua

Kita akan menuju untuk menemui Tuhan. Ambillah kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu. Tidak ada yang sempurna kerana kehidupan itu sendiri adalah medan ujian. Allah SWT berfirman:

‏ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah SWT lah yang mewujudkan mati dan hidup, serta menentukan keduanya semenjak azali lagi. Dia-lah yang menjadikan mereka (manusia) berakal agar mengetahui makna-makna pembebanan kewajiban sambil mereka melaksanakannnya. Begitu juga kerana Allah memperlakukan mereka dengan perlakuan orang yang menguji perbuatan mereka. Lalu Allah membalas mereka atas perbuatan mereka. Hal itu dilakukan, juga supaya Dia mengetahui mana dari kalangan mereka yang paling taat dan paling ikhlas kepada Allah dan amalnya yang paling baik. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/25)

Sayyid Qutb berkata: Allah SWT berfirman selepas itu, ‘وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ’ (“Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”) untuk mencurahkan ketenangan dalam hati yang sentiasa memelihara perintah Allah SWT dan takut kepada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Mengalahkan, tetapi Dia juga Maha Pengampun lagi maha Bertolak Ansur. Apabila hati terjaga dan sedar bahawa ia berada di dunia ini untuk berdepan dengan ujian dan cubaan, di samping ia berhati-hati dan menjaga diri, maka dia berhak untuk bertenang, menetap dan berselesa kepada pengampunan dan rahmat Allah SWT. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/3631)

Untuk menghasilkan ‘أَحْسَنُ عَمَلًا’ (yang lebih baik amalnya), maka sudah tentu dengan mengutip pengajaran dan pengalaman terdahulu bagi memaknai kehidupan kita di dunia. Kehidupan yang berorientasikan akhirat. Bak kata Hamka, “Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti.” Justeru, binalah tekad untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.

Kehidupan yang baru hendaklah diteruskan. Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan:

Keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin, termasuk juga perasaan kasih sayang.

Mu’asyarah (pergaulan) yang baik. Hal ini menjadi perintah Tuhan. Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Zamakhsyari menjelaskan bahawa ““Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik” secara umum ditafsirkan “berlaku adil dalam hal tempat tinggal dan nafkah, serta memperhalusi tutur kata.” (Lihat Tafsir al-Kasysyaf, 1/491)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut. Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

iii. Zahirkan rasa kasih sayang kepada kaum keluarga dan anak-anak. Ini selaras dengan kisah Nabi bersama al-Aqra’ bin Habis R.A, sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah SAW telah mencium al-Hasan bin Ali dan bersamanya ada seorang sahabat bernama al-Aqra‘ bin Habis al-Tamimi R.A yang sedang duduk. Lantas Al-Aqra‘ R.A berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun di antara mereka.” Rasulullah SAW lalu berpaling memandangnya seraya bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ.

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam mengulas hadith ini, menukilkan daripada Ibn Battal yang menyebut, “Hadis ini mengandungi maksud galakan agar bersikap rahmat (perasaan belas kasihan) terhadap semua makhluk. Termasuk dalam maksud rahmat adalah sentiasa memberi makan, minum, meringankan beban dan tidak melakukan tindakan salah laku dengan memukul.” (Lihat Fath al-Bari, 10/440)

Ingatlah anak merupakan hibah atau anugerah kurniaan Tuhan. Ia menjadi penyambung warisan kehidupan kita. Ingatlah bahawa dengan kita meninggalkan anak yang soleh merupakan aset kita di hari akhirat kelak, yang mendoakan kebaikan kepada kita. Saya teringat kisah anak saya yang meninggal baru-baru ini akibat kanser. Saya muatkan kisahnya dalam buku terbaru saya, Salam Terakhir.”

Kredit : Maktabah Al-Bakri


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This