hidayah milik Allah
Apabila hidayah menjentik hati, semua kekeliruan menjadi pasti, Zainab Ismail

“Mana orang yang terselamat daripada kemalangan di Belt Parkway tadi?

Kenapa?”

Tidak ramai yang boleh terselamat daripada kemalangan seperti itu sebelum ini. Saya hanya mahu melihat siapakah orangnya”

“Saya tidak kenal awak dan tidak tahu agama serta kepercayaan awak, tapi jika awak percaya tuhan dan tahu apa yang Dia rancangkan, awak harus lakukan.”

Selepas berkata sedemikian, Pengarah Hospital itu terus berlalu. Saya tergamam. Tidak terucap apa-apa, kata-katanya tergiang-ngiang di telinga. Masih juga terdengar bisik-bisik jururawat di sebelah,

“Wah, siapa dia ni hinggakan Pengarah Hospital datang melawat? Bukan senang pesakit biasa nak dilawat oleh bos besar kita tu.”

Saya juga bingung, kenapa perkara tersebut terjadi di saat saya sedang mencari siapa diri saya? Sesungguhnya saya tidak pernah berasa senang dalam agama Katolik yang diwarisi oleh keluarga, sebab itu saya tidak pernah beramal tentangnya.

Justeru di saat ini, saya mencari-cari arah tujuan yang lebih membawa kebenaran. Malah, peristiwa (kemalangan dan lawatan pengarah hospital) itu jelas mempengaruhi saya.

Terimbau kembali pada hari kemalangan iaitu September 2005. Ia berlaku dalam perjalanan untuk berjumpa dengan pelanggan, tiba-tiba terjadi satu kemalangan kecil, betul-betul di hadapan saya. Kemudiannya saya cuba mengelak. Dalam  hati berkata,

“Tak apa, aku pakai kenderaan jenis utiliti sukan (SUV), mesti lepas punya.

Namun, entah di mana silapnya, saya gagal mengawal kenderaan, dan terbabas hingga ke bahu jalan.

Tetapi, dalam hati masih lagi berharap kereta jenis SUV mampu menyelamatkan saya. Akan tetapi, telahan saya ternyata salah sama sekali. Akibat daripada pemanduan yang laju dan gagal dikawal, kereta saya berpusing sebanyak lima kali dan terbalik ke arah jalan yang bertentangan.

Pada ketika itu, saya hanya separuh sedar dan apa yang diingat, saya tidak dilanggar oleh kenderaan lain. Apabila sedar sepenuhnya, saya berada di dalam ambulan untuk dikejarkan ke hospital. Di dalam ambulan tersebut, apa yang difikirkan hanyalah temu janji dengan pelanggan, itu yang penting.

Bergelar jurulatih kecergasan profesional pergaulannya bebas kerana dipengaruhi pelbagai golongan selebriti dan orang terkenal

Sebagai seorang pelatih ‘fitness’ yang profesional, saya memang akan menjaga semua perkara tersebut, agar tidak menjejaskan reputasi saya. Walaupun dalam keadaan yang sebegitu, saya sempat menelefon pelanggan dan memberitahu keadaan saya agar dia tidak menunggu.

Meskipun kecederaan luaran nampak ringan sahaja, iaitu tercalar sedikit di lengan dan terdapat beberapa tempat luka di badan, tetapi saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana disahkan terdapat darah beku dalam kepala. Namun, setelah dibedah, kesemua darah tersebut dapat dibuang. 

Datang ke Malaysia

Masih saya teringat, sebelum terlibat dalam kemalangan, saya telah dihantar oleh syarikat ke Malaysia untuk menyertai satu pembentangan berkaitan kesihatan di sana. Setibanya di Kuala Lumpur, saya sangat teruja, “Wow! ramainya Muslim”.

Saya sangka mereka semua orang Asia, tetapi terkejut apabila mendapat tahu yang Muslim itu ialah orang Malaysia sendiri! 

Pembentangan yang bertempat di salah sebuah Kolej Islam Kuala Lumpur itu berjalan dengan lancar. Selepas habis sesi pembentangan, saya kembali ke hotel. Setibanya di hotel ketika itu jam 5 petang, pada November 2002.

Saya hairan, keadaan di hotel sunyi sepi, tiada bunyi riuh rendah manusia walaupun kedudukan hotel itu berhadapan dengan sebuah kompleks membeli belah yang besar, merasakan saya seperti berada di gua, bukan hotel di tengah bandar.

Tanpa memikirkannya, saya terus ke bilik untuk merehatkan badan dan bersiap sedia untuk keluar bersama pengiring pada malamnya. Katanya ada rakan dari Malaysia mengajak kami meneroka Kuala Lumpur pada malam hari.

Tepat jam 8 malam, kami keluar untuk berjalan-jalan, tiba-tiba saya seakan merasakan suasana yang berlainan. Manusia ada di mana-mana, riuh rendah dengan gelak ketawa bersama rakan, membawa keluarga berjalan bersama. Saya pelik, apakah di sini mereka ‘hidup’ pada waktu malam, saya tekad untuk mengetahuinya.

Lantas bertanya kepada orang Malaysia yang membawa kami, lalu saya diberitahu, ketika itu adalah bulan Ramadhan, iaitu bulan suci untuk orang Islam. Mereka diwajibkan puasa selama sebulan dan bulan itu juga menunjukkan kurangnya masalah sosial dan dosa dilakukan. Semua orang terutamanya Muslim menghormati bulan Ramadhan.

Melalui penjelasan itu, barulah saya faham, patutlah waktu siang tiada orang. Mereka berpuasa rupanya. Dan waktu berbuka pada saat tenggelamnya matahari, orang ramai  mula menampakkan  diri. Lebih-lebih lagi menjelang malam.  Yang seronoknya, kebanyakan mereka menutup aurat. Suasana yang luar biasa pada saya. Bermula daripada situlah, saya mula berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam.

Itu sahajakah syaratnya?

Saya berasal dari Brooklyn, juga seperti orang lain yang amat sukakan duniawi.  Ia kerana dipengaruhi oleh kehidupan saya yang agak bebas disebabkan pergaulan dengan golongan selebriti, atlet, artis dan orang-orang terkenal. Parti, bersosial, berfoya-foya menjadi gaya hidup saya sejak bergelar pelatih peribadi nutrisi untuk golongan tersebut yang profesional.

Mengenai agama, walaupun dilahirkan sebagai katolik, tetapi saya bukan jenis yang tradisional, patuh pada agama. Saya sekadar menganut katolik disebabkan agama keturunan keluarga.

Minat untuk mengkaji tentang Islam kembali bercambah selepas kejadian kemalangan dan peristiwa berjumpa dengan pengarah hospital. Selepas daripada kejadian tersebut, pada tahun 2009, saya pergi ke gereja untuk menghadiri upacara perkahwinan sahabat baik saya bersama salah seorang pelanggan saya.

Namun, ketika berada di gereja, saya seakan-akan hilang, kosong, tiada apa-apa perasaan berada di tempat yang dihormati oleh penganut katolik. Saya seperti tidak ada hubungan dengan Tuhan.

Saya juga merasakan seakan-akan segala upacara yang dihadiri itu mengarut semuanya. Pada ketika itulah saya dapat merasakan yang saya tidak mahu menjadi katolik lagi.  Mungkin katolik yang membuatkan saya merasa kekurangan sebelum ini meskipun hidup mewah dan di kelilingi golongan popular seluruh dunia.

Islam menjadikan dia seorang yang patuh kepada tuntutan agama dan umat yang lebih baik

Apa yang ada di fikiran pada ketika itu ialah agama Islam. Tiada terbayang agama lain selain Islam. Sebelum tamat majlis, saya minta izin untuk pulang, dan mencari maklumat berkaitan Islam. Daripada situ saya mula serius untuk mengetahui tentang Islam. Apa yang saya jumpa ialah, hendak memeluk agama Islam, wajib mengucap dua kalimah syahadah. Dalam hati terdetik,

“Itu sahaja syaratnya? Senang saja..”.

Beberapa hari kemudian, saya menghubungi teman Muslim saya yang berketurunan Arab Amerika. Saya memberitahunya ingin mengucap dua kalimah syahadah. Dia kemudiannya membawa saya ke sebuah masjid di bandar, dan menyuruh saya membaca tentang Islam di sebuah perpustakaan mini yang disediakan oleh pihak masjid. Katanya, ingin memeluk agama Islam, tidak boleh suka-suka, perlu ada keyakinan akan kewujudan Allah dan kebenaran Muhammad s.a.w.  

Sebelum pulang, saya sempat pinjam beberapa buku berkaitan perkara asas dalam Islam dan al-Quran terjemahan. Tanggal Jun 2009, saya dengan rasminya mengucap dua kalimah syahadah dan mula menjalani kehidupan sebagai Muslim.

Perancangan awal untuk mengucap syahadah di hadapan imam masjid, tidak kesampaian, kerana ketika kami sampai, imam di masjid tersebut telah pulang disebabkan perbezaan waktu di tempat kami dan masjid berkenaan.

Namun, semua itu tidak menghalang saya untuk memeluk agama Islam, saya kemudiannya mengucap dua kalimah syahadah sendiri di hadapan kawan, dan berpandukan kalimah suci itu di komputer.

Selepas bergelar Muslim, saya merasa sangat tenang, dan setiap hari saya cuba biasakan diri dengan perubahan baru, iaitu menjadi Muslim yang baik untuk masyarakat dan agama. Saya mula mendalami Islam dan memahami apa itu Islam. 

Saya ikuti setiap kelas pembelajaran  Islam. Semakin hari, semakin dapat saya rasai indahnya hidup dalam Islam. Saya mengambil masa selama tiga minggu untuk menghafal surah al-Fatihah, ‘ibu’ segala surah.

Apabila menjelang Ramadhan, menjadi kesukaran juga kepada saya menjalani hidup di bulan puasa yang pertama sebagai seorang Muslim. Tambahan pula, keluarga langsung tidak mengetahui tentang berita pengislaman saya.

Justeru saya memohon kepada Tuhan agar dapat mengasingkan diri daripada segala bentuk cubaan yang boleh menghalang saya untuk berpuasa dan beribadat dengan tenang.

Dan alhamdulillah, doa saya dimakbulkan Tuhan. Saya diterima masuk ke sekolah untuk saudara baru iaitu Mecca Center di Manhattan. Di situ, banyak program-program untuk saudara baru mengenali Islam. .

Hasil daripadanya  pada Januari 2010, akhirnya saya menutup aurat dengan sempurna apabila mengenakan tudung. Walaupun pada mulanya sukar untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup Islam, tambahan kerja sebagai jurulatih ‘fitness’ masih diteruskan, lama kelamaan saya mula selesa dengannya.

Menjadi cabaran kepada saya untuk hidup dalam komuniti Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan warna kulit. Mulanya mereka tidak boleh menerima saya, tetapi akhirnya, berkat usaha dan rahmat Tuhan, kami merasakan seperti saudara.

Sesungguhnya, hidayah itu memang milik Allah. Namun kita juga harus berusaha untuk mendapatkannya. Saya merasa rugi, kerana dahulu hidayah itu telah sampai kepada saya, namun saya leka. Pada tahun 1998, ketika menyertai pertandingan ‘fitness’ peringkat antarabangsa, saya telah berjumpa dengan seorang peserta lelaki dari Lubnan.

Seperti biasa, saya memakai bikini agar dapat melihat kesempurnaan tubuh dan otot-otot di badan saya. Dia juga memakai pakaiannya yang tersendiri. Tiba-tiba, dia berkata kepada saya, “Hei kamu, tolong tukar pakaian itu, tidak elok wanita memakai bikini..” dengan nada yang perlahan dan lembut.

Saya sedikit terkejut, lalu bertanya, “Kenapa? Kamu juga memakai pakaian seperti saya, jadi apa bezanya?”. Tiba-tiba dia memberi saya senaskah al-Quran dan mendesak untuk saya membacanya agar dapat jumpa perbezaannya. Saya hanya membacanya sehelai dua, kemudiannya menyimpannya semula.

Kini, saya terfikir, kalaulah pada ketika itu saya bersungguh-sungguh membaca al-Quran tersebut, mungkin kini saya lebih sempurna. Kalau dahulu saya lalai, kini hidayah itu sudah dalam genggaman, saya tidak akan mensia-siakannya begitu sahaja. Saya akan berusaha menjadi Muslim terbaik setiap hari. Alhamdulillah.

Oleh: Zainab Ismail, dari Manhattan, Pemilik Fitness Essentials LLC, New York. Naib Presiden Pusat Kecergasan Nandoon New York dan Jurulatih Kelas Kecergasan Wanita “Fit for Allah”

Pencapaian:  

National level fitness competitor 1993-1997, East Coast Alliance Ace prep. 1994, ACE, CPT 1994, Apex Fitness/Nutrition coach/owner 1995-Present, Old NASM CPT, PES 1997/1999, New NASM CPT, PES (charter NASM class) 2000, NASM CPT Facilitator/instructor (East Coast) 2001-2003, Free Motion Master Trainer 2001-2003, Free Motion Fitness International Presenter (Hong Kong/Malaysia)

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’