BERMULA dengan membuat cabaran menyambung bacaan ayat al-Quran sebagai bahan kandungan di TikTok, nama Abdul Qawiy Abd Rashit semakin dikenali.

Qawiy yang merupakan pelajar Madrasah Darul Uloom Zakariyaa, Johannesburg, Afrika Selatan selama tujuh tahun itu menganggap eksperimen sosial yang dilakukan itu sebagai satu cara untuk menyebar luaskan ilmu al-Quran.

Malah, dia menerima banyak respons positif daripada pengguna TikTok yang tertarik untuk mempelajari al-Quran menerusi perkongsiannya di laman sosial terbabit.

Lebih membanggakan apabila cabaran Terjah Mengaji yang mula diperkenalkan sejak September tahun lalu itu telah mendapat perhatian stesen TV Alhijrah itu menerbitkan sebuah program berjudul Qawiy Wuz Here.

.

“Syukur Alhamdulillah, saya sendiri tak jangka koten saya mampu pergi jauh sehingga ke tahap sekarang.

“Saya lihat ramai rupanya pengguna TikTok yang nak mendekatkan diri dengan al-Quran. Bila saya nampak situasi dan respon mereka, saya terus hasilkan lebih banyak kandungan berkaitan al-Quran.

“Saya berterima kasih juga kepada semua termasuklah TV Alhijrah yang berminat untuk menerbitkan sebuah program untuk saya menerusi Qawiy Wuz Here,” katanya kepada URTV.

Qawiy ditemui pada sidang media Program-Program Pembuka Tirai 2023 TV Alhijrah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Qawiy akui sejak mula ‘menerjah’ orang awam untuk misi menyambung ayat al-Quran, dia juga belajar untuk tidak mudah menghakimi orang dengan cara mereka berpakaian.

“Menerusi pemerhatian saya, ramai sebenarnya yang pandai membaa al-Quran cuma mereka malu.

“Saya juga belajar sesuatu daripada eksperimen sosial ini untuk tidak menilai orang daripada luaran.

“Saya pernah juga terjah beberapa pemuda yang pakai rantai, seluar pendek dan berambut perang tapi mereka boleh sahut cabaran saya dengan baik.

“Pernah juga saya menganggap individu itu boleh menyambung ayat al-Quran yang saya baca tetapi rupanya tak boleh. Perkara-perkara inilah sedikit sebanyak membuka mata saya,” ujarnya yang menghafaz al-Quran sejak berusia 13 tahun.

Kata pemuda berusia 26 tahun itu lagi, ramai anak muda hari ini berminat dan bersedia untuk menyelesaikan cabaran menyambung ayat al-Quran setiap kali dia pergi ke lokasi sasaran.

“Awal-awal dulu saya bagi soalan surah yang senang saja sebab misi utama saya ialah nak sebarkan ilmu al-Quran.

“Saya tak naklah bagi soalan susah nanti orang malu kalau tak dapat jawab.

“Tapi kalau orang yang saya terjah itu pernah belajar di sekolah tahfiz, saya akan bagi surah yang susah sikit,” kongsinya.

Gaya ‘street wear’ mudah untuk dekati anak muda

MENYENTUH mengenai penampilannya yang lebih santai dan selesa dengan gaya street (jalanan), Qawiy mahu keluar daripada imej berjubah serta kopiah setiap kali membuat kandungan di TikTok.

Jelas Qawiy, dia mahu anak muda berasa selesa apabila didekati sekaligus memudahkan dirinya untuk berkongsi ilmu.

“Sejak dulu lagi saya memang minat fesyen terutama ‘street wear’.

“Saya masih kekalkan penampilan sama sebab senang untuk saya nak berinteraksi dengan lebih ramai anak muda.

“Kalau saya berjubah dan berkopiah, golongan muda ini akan menjauh sebab mereka mungkin rasa takut dengan penampilan saya,” katanya.

Program Qawiy Wuz Here akan ditayangkan mulai 28 Januari ini.

Sebelum ini, Qawiy tular di media sosial selepas melakukan cabaran Terjah Mengaji dan menghadiahkan RM50 kepada mereka yang berjaya menyambung bacaan ayat al-Quran.