CENDAWAN merupakan sejenis kulat yang tumbuh meliar, berbatang pendek dan memiliki jangka hayat yang singkat. Itu mungkin yang mudah kita temui. Tetapi sebenarnya, ada spesies cendawan yang mampu hidup selama ribuan tahun, malah boleh membesar sehingga ke bersaiz gergasi.
Di dalam hutan kuno di Hutan Nasional Malheur, terletak di Oregon Blue Mountain, Amerika Syarikat, wujud organisma terbesar pernah ditemukan di bumi, dikenali sebagai Armillaria ostoyae atau cendawan madu.
Kulat jenis ini ternyata telah berkembang di hutan tersebut sejak ribuan tahun dahulu dan kini usianya dikirakan melebihi 2,400 tahun atau mungkin lebih daripada itu.
Bukan sahaja usianya yang menjadi tumpuan, saiznya turut menarik perhatian lantaran bersaiz besar menyerupai gergasi. Digelar sebegitu kerana ukuran panjangnya mampu membentang sehingga 5.6 kilometer dan memanjang kira-kira satu meter jauh ke dalam tanah.
Ukurannya yang begitu besar menyebabkan ia menguasai hampir 965 hektar tanah di Hutan Nasional Malheur, yakni menyamai keluasan 1,665 buah padang bola sepak.

Untuk beratnya sahaja, saintis menganggarkan boleh mencecah sehingga 7,500 tan dan mungkin melebihi sekurang-kurangnya 35,000 tan. Anggaran ini dikatakan sama berat dengan 200 ekor ikan paus kelabu. Ini yang menjadikan ia sebagai antara organisma hidup paling besar di dunia.
Penemuan ini muncul selepas Catherine Parks, seorang ilmuwan dari Pacific Northwest Research Station di La Grande menjumpai spesies cendawan ini tanpa sengaja pada tahun 2003.
Semuanya bermula selepas beliau mendapat berita bahawa banyak pokok telah mati mereput di hutan timur Prairie City. Sebaik mendengar laporan itu, Catherine terus memulakan kajiannya.
Dengan menggunakan gambar udara, beliau memerhati kawasan terjejas dan kemudian mengambil 112 jenis sampel akar dari pokok mati serta pokok hidup. Selepas membandingkannya, didapati sebanyak 61 batang pokok telah diserang oleh koloni cendawan madu daripada genetik yang sama. Melalui kajian itu, saintis mengungkapkan penemuan tentang ‘perangai’ kulat yang tidak diketahui oleh siapa pun sebelum ini.

Menurut pengkaji, cendawan sebenarnya memiliki kesatuan sel yang saling berkomunikasi untuk tujuan tertentu terutama dalam merosakkan akar pokok seterusnya membunuh pepohonan di sekelilingnya.
Hasil ujian DNA turut meyakinkan saintis bahawa kulat ternyata memiliki keupayaan ‘shoestring’ yang sangat unik. Shoestring merujuk kepada kemampuan kulat untuk membiak dan berkembang secara meluas di atas tanah bahkan mendiami jauh di bawah tanah.
Fakta tersebut diperoleh selepas kerja-kerja menggali dilakukan di kawasan terjejas dan didapati terlalu banyak kulat membiak di dalam tanah dan akar pokok. Kulat-kulat tersebut tidak hanya diam di tempatnya. Akan tetapi, saling bersatu – bekerja untuk mengeluarkan cairan berupa cat lateks putih di sepanjang akar pokok.
Ahli sains mendapati, cairan kulat bertemu ini bila bertemu, ‘mereka’ boleh bergabung dan membentuk satu pasukan. Kemudian, menyerang akar pokok melalui gabungan tekanan dan tindakan enzim sehingga akhirnya membunuh pokok di sekitarnya.

Para ahli biologi telah lama membahaskan tentang ‘perlakukan’ pelik organisma tersebut. Sebelum penemuan cendawan gergasi ini, saintis turut menjumpai Armillaria Ostoyae seumpamanya pada tahun 1992 di barat daya Washington. Yang membezakan cuma ukurannya sedikit kecil, iaitu kira-kira 2.5 km persegi. Dan didapati senarionya tetap sama di mana banyak pokok mati di sekitar cendawan tersebut.
Namun, hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, para saintis telah menemukan bahawa cendawan bukanlah seperti yang difikirkan sebelum ini. ‘Mereka’ hidup secara koloni, terdiri dari sel-sel genetik yang boleh berhubung antara satu sama lain, lasak, dapat menyelaraskan diri dan mempunyai tujuan yang sama.
Walaupun bermula sebagai spora tunggal yang terlalu kecil untuk dilihat tanpa mikroskop, tetapi dengan keupayaan tersebut telah membolehkannya berdiri dengan sendiri. Bijak mendapatkan makanan dengan menyerap segala nutrien dari pokok sehingga akhirnya membiak dan membesar serupa gergasi. Ini yang membuatkan cendawan gergasi ini mampu terus hidup sejak beribu tahun dahulu.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare