“Wanita zaman sekarang memang ramai yang pandai pandai. Bukan seperti zaman 70-an atau 80-an, iaitu zaman emak atau nenek kita. Selepas diceraikan, mereka menerima nasib dengan hati yang luka lara, menderita . Walaupun mereka telah banyak korbankan harta benda demi membantu suami, tetapi akhirnya mereka terpaksa berusaha membesarkan anak-anak sendirian tanpa nafkah dari suami.
“Itu semua berlaku kerana ramai wanita ketika itu tidak tahu hak mereka. Bila kena cerai atau ditinggalkan suami, mereka terima qada dan qadar sebagai nasib dan terpaksa besarkan anak-anak sendiri sedangkan suami atau bekas suami hidup gembira bersama isteri muda dan anak-anak baru, tanpa langsung memikirkan nasib anak-anak yang ditinggalkan.
“Zaman dulu mana ada suami takut dengan Mahkamah Syariah, mungkin kerana belum wujud pun lagi, jadi peduli apa nak bagi nafkah. Dah cerai, ikut pandai bekas isteri dan bekas mertua membesarkan anak-anaknya. Pada pandangan mereka, selepas bercerai anak-anak bukan tanggungjawab ayahnya lagi. Itu fahaman kaum lelaki zaman dulu serta kaum keluarganya. Lepas cerai, mereka seolah-olah bebas daripada tanggungjawab bagi nafkah anak-anak.
“Tetapi zaman sekarang sejak tahun 90-an hingga kini, semakin ramai wanita cakna akan hak mereka. Tahu segalanya, tetapi masih ramai yang merungut, bekas suami tak pernah bagi nafkah walaupun mahkamah syariah telah tetapkan. Sebabnya, (maaf cakap) mahkamah syariah tidak mahu gunakan kuasa yang ada untuk paksa ayah bagi nafkah anak-anaknya, nasihat pun memang tak adalah. Sebab itu ramai ibu tunggal hidup menderita membesarkan anak-anak sendirian,’’ Itu cerita Muslina melahirkan rasa kesalnya dengan apa yang berlaku.
“Saya tak cakap kosong, kami tiga beradik anak mangsa cerai. Kami tak pernah dapat nafkah dari ayah. Lepas cerai, emak ditinggalkan, ayah tak balik terus, hilang entah ke mana. Emak terpaksa cari kerja kilang, kami tiga beradik balik duduk kampung dengan nenek dan datuk. Hidup memang susah, tetapi nenek selalu suruh kami belajar pandai-pandai, kata nenek mana tahu kami terpilih boleh masuk sekolah asrama, senang boleh sambung belajar. Nanti sekolah pandai, senang dapat kerja. Itu nasihat nenek.
“Memang datuk paksa kami belajar dan ajar kami mengaji. Bab makan minum ala kadar aja. Emak balik dua minggu sekali hantar duit untuk nenek beli makanan dan sekolah kami. Sejak ayah ceraikan emak, kami tak pernah jumpa ayah, juga datuk nenek sebelah sana. Memang kami tak kenal sebab mereka tak pernah bertanya khabar atau menjengah hidup kami. Pendek kata, selepas emak ayah bercerai, putuslah hubungan dua keluarga ini.
“Itu cerita dulu, emak tak tahu nak tuntut hak, apa lagi nafkah. Lepas bercerai, masing-masing cari makan dan kehidupan sendiri. Untung emak tak mahu kahwin, kalau emak kahwin lagi tak tahulah apa nasib kami berbapa tiri. Itu cerita saya anak mangsa cerai.
“Melihat penderitaan ibu dan susah payah nenek dan datuk besarkan kami, maka saya langsung tak terfikir nak kahwin. Saya rasa senang dan gembira hidup sendiri, walaupun emak selalu `menyanyi’ suruh saya kahwin, tetapi hati saya tak terbuka langsung nak berkeluarga. Sebab saya takut anak-anak saya jadi mangsa seperti saya ketika kecil dulu. Dan jadi macam anak-anak kakak saya.
“Kakak pun bercerai setelah mempunyai dua orang anak. Suami hilang entah ke mana, tak bagi nafkah, larikan kereta yang kakak bayar ansurannya selama ini. Nak tuduh curi tak boleh sebab kereta nama bekas suami. Saya tak faham macam mana kakak boleh beli kereta sedangkan dia tak pandai memandu. Kata kakak ada kereta senang nak antar anak kepada pengasuh, senang nak balik kampung. Sebab suaminya cuma ada motosikal. Akhirnya bila bercerai, kereta hilang, duit simpanan dan barang kemas pemberian emak pun hangus.
“Saya suruh kakak tuntut nafkah ke mahkamah, tetapi kakak bosan. Bekas suami tak pernah datang, alamat rumah tidak ada, tempat kerja bertukar-tukar. Hantar saman rumah bekas mertua pun bekas suami tak datang. Akhirnya emak duduk dengan kakak tolong jaga cucu yang bersekolah dan makan pakai mereka. Keluarga bekas mertua memang tak ambil tahu. Bila lihat nasib kakak dan anak-anaknya, saya teringat nasib saya masa kecil dulu.
“Pertama kali kami jumpa ayah masa kakak nak nikah. Pejabat agama suruh cari ayah, pada hal abang kami boleh saja nikahkan kakak. Punya susah nak cari satu hal, tak dapat kerjasama dari adik beradik ayah. Rupanya mereka berselisih faham berebut harta selepas emak ayah mereka meninggal dunia. Hemmm lantak lah.
“Dah jumpa kena bagi tambang teksi untuk ayah datang ke kampung. Tetapi kerana saya dengar banyak kes ayah tak datang masa nikah, maka saya suruh kakak nikah di pejabat agama, jangan buat kenduri di rumah, banyak risiko. Nanti malu kalau ayah tak datang.
“Saya fikir lepas tu selesai masalah. Tetapi ada masalah baru. Rupanya ayah bercerai dengan isteri kedua, sekarang isteri ketiga. Masih ada dua orang anak masih sekolah. Mampus. Siapa nak tanggung? Ayah tak kerja. Dengar cerita anak-anak isteri kedua seorang saja bekerja, seorang lagi jadi `doktor cocok sendiri’, lagi parah. Saya berdoa agar ayah tidak lepaskan beban anak-anaknya kepada kami.
“Sebenarnya bukan kakak saja yang jadi mangsa di seksa bekas suami, malah ramai wanita yang cerdik pandai kini jadi mangsa bekas suami. Contoh kawan sekolah saya, Mimi namanya. Punyalah pandai belajar, berjawatan tinggi pun kena tipu dengan bekas suami.
“Kes dia lagi menyakitkan hati, dia ada sebuah pangsapuri atas nama mereka suami isteri. Bila anak bertambah dan gaji pun okay, nak beli rumah besar sikit. Tetapi suami suruh buat rumah atas tanah pusaka miliknya hadiah emaknya. Sebab tanah percuma, boleh buat rumah lebih besar dan tak mahal.
“Kerana cadangan yang baik, tanah pun luas, Mimi setuju. Kata suami tak perlu pinjam bank, mereka boleh kongsi dan buat rumah 4 bilik saja. Tapi kata suami guna duit Mimi dulu. Cadangan suami, bila anak-anak dah remaja barulah buat rumah lebih besar, persediaan bila bersara nanti. Kata suami lagi, mereka ada tiga anak, boleh beri seorang sebuah rumah.
“Tetapi manusia hanya merancang, hanya Allah lebih tahu masa depan kita. Tak berapa tahun duduk rumah baru, suami buat hal, ada skandal dengan teman sepejabat. Pasti berlaku perang. Akhirnya mereka bercerai. Suami halau Mimi keluar rumah, ini rumah dia dan tanah dia. Mimi berkeras tak mahu. Tetapi bila dapat surat peguam supaya dia kosongkan rumah kerana tanah tersebut bekas suami sudah jual, Mimi kaku tak tahu apa nak buat.
“Rupanya bekas suami Mimi jual tanah tersebut untuk dia buat bisnes. Macam mana dengan rumah? Kata peguam, anak guamnya tak mahu rumah tersebut. Allahu Akbar. Mimi jumpa peguam tetapi tak boleh nak buat apa pun sebab tanah itu sudah dijual. Ke mana Mimi anak beranak nak pergi. Nak balik duduk pangsapuri, bekas suami dah duduk situ.
“Rupanya semakin ramai manusia pandai, semakin pandai mereka putar belitkan keadaan untuk kesenangan sendiri. Kini Mimi dan anak anak terpaksa sewa rumah. Jelas kini orang pandai pun kena tipu. Suami isteri zaman ini sudah hilang perasaan sayang menyayang, hormat menghormati dan keikhlasan. Mereka lebih pentingkan diri sendiri.
“Nasib sepupu saya Eka lebih teruk, dia memang isteri yang baik, pendiam dan tak suka berbual kosong. Sentiasa sibuk urusan rumah, jaga makan minum suami dan anak-anak walau sibuk bekerja. Jam 5.00 pagi dah bangun siapkan makan minum dan bekalan anak-anak ke sekolah dan sarapan yang bersekolah petang.
“Dunia dia cuma rumah dan pejabat sementara suami sibuk bekerja. Itu kata Eka. Sedangkan kami tahu suaminya sibuk dengan kawan-kawan di gerai, lepak sana sini. Dah lewat malam baru balik. Rupanya ketika melepak itulah dia ada kekasih. Seorang ibu tunggal dengan dua orang anak. Wanita itu buat bisnes jual kuih raya.
“Satu hari dalam sedu sedan tangisan Eka beritahu suaminya sudah ceraikan dia. Terkejut kami. Macam mana berlaku, bila cerai, mengapa, apa puncanya, macam-macam lah soalan kami. Eka telefon awalnya nak pinjam duit nak bayar sewa rumah, sudah dua bulan tak bayar. Tambah terkejut kami apa dah jadi. Ini kes teruk.
“Akhirnya terbongkar, suami Eka suruh buat pinjaman bank kali kedua sebanyak RM30K. Dia ikut nasihat kakaknya jangan buat pinjaman lagi. Nanti susah. Pinjaman pertama RM30K baru setahun sekarang nak pinjam lagi, nak buat apa.
“Kata Eka, suaminya nak kongsi buat bisnes. Kakak Eka tegah, suami Eka marah, lantas ceraikan Eka. Mudah sangat suaminya ceraikan Eka. Bila kakak dan adik Eka buat siasatan, terbongkar kisah suami Eka buat bisnes dengan ibu tunggal yang nak besarkan bisnes buat kuih raya dan nak sewa rumah kedai lebih besar selain beli alatan seperti ketuhar.
“Rupanya mereka sudah lama berkongsi berniaga hasil duit pinjaman Eka. Sedangkan suami Eka beritahu dia kongsi buat bisnes baiki motor. Lain yang dicerita, lain yang jadi. Kini Eka terpaksa tanggung hutang bank RM30K. Itulah puncanya dia kekurangan duit belanja.’’
Demikian cerita Muslina. Dia hairan mengapa semakin ramai wanita cerdik pandai sekarang, semakin ramai pulak kena tipu dengan suami. Ini yang membuatkan dia langsung tak minat berkahwin. Katanya bukan semua perkahwinan bawa bahagia, malah menderita. Kalau takut kena cerai, hambakanlah diri dengan suami yang pentingkan dirinya sendiri.
Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 019-2393419 atau 012-2833142 dan jika anda ingin melahirkan masalah anda, sila email ke [email protected] atau [email protected]