LEBIH 280 pemilik motosiikal Ducati Panigale telah berkumpul di Perhimpunan Terbesar Panigale 2023 yang dianjurkan oleh Panigale Kingdom.
Perhimpunan tersebut diteruskan dengan acara konvoi ke Kuantan turut disertai oleh penunggang ujian MotoGP Ducati, Michele Pio Pirro.

Michele Pio Pirro merupakan pelumba dari Itali dan pernah menjadi Juara Kebangsaan CIV Itali pada 2007 dan 2008 dalam kelas Superstock dan kini merupakan penunggang ujian untuk perlumbaan MotoGP bagi pasukan Ducati.
Beliau juga pernah bertanding dalam perlumbaan motosikal Grand Prix dan Kejohanan Dunia Supersport.
Perhimpunan yang akan berlangsung di Zenith Hotel, Kuantan telah bermula di Madani Bikes (Ducati Kuala Lumpur).

Bermula dengan acara ramah mesra pemilik-pemilik Ducati Panigale bersama Pirro di Madani Bikes sebelum konvoi motosikal berkuasa tinggi ini meneruskan perjalanan ke Kuantan dan bertemu dengan pemilik-pemilik Panigale di sana.
Menurut Jawatankuasa penganjur, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin, acara ini merupakan pembuka tirai bagi tahun 2023.
“Panigale Kingdom amat bertuah dengan kehadiran Michele Pio Pirro dan kesudian beliau untuk sama-sama menunggang bersama kami ke Kuantan. Bukan mudah untuk mana-mana kelab motor mendapat pengalaman sebegini.

“Acara hari ini merupakan permulaan yang baik bagi kelab kami dan akan ada pelbagai lagi acara menarik yang telah kami susun sepanjang tahun ini,” katanya.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada pasukan Polis Trafik yang mana Supt Yatim dari JSPT Bukit Aman turut hadir memberikan sokongan.
Beliau turut menasihati semua penunggang supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dalam berkonvoi dan mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. – UtusanTV

