SEORANG lelaki bersama rakan wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun berparang di sebuah kediaman dekat USJ 9, Subang Jaya, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, pengadu seorang kerani berusia 43 tahun sedang tidur di dalam bilik di tingkat atas.
Beliau berkata, suspek lelaki telah mengejutkan pengadu dan mengacukan parang lalu mengikat tangan dengan menggunakan wayar pengecas telefon.
Katanya, suspek lelaki turut mengikat tangan ayah pengadu dan membawa turun ke tingkat bawah rumah.
Baca artikel : Suspek samun berparang di Jalan Stutong ditahan polis
Sementara suspek wanita bertindak mengikat pembantu rumah dengan menggunakan wayar seterika.
“Kedua-dua suspek telah menggeledah rumah dan mengambil barangan kemas, telefon bimbit, wang tunai seterusnya melarikan diri dengan kereta.
“Kerugian dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, suspek disyaki terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berbangsa India.
“Suspek lelaki berpakaian jaket warna coklat, seluar jeans biru dan memakai pelitup muka ketika kejadian.
“Kedua-dua suspek memakai sarung tangan semasa berada di dalam rumah pengadu,” ujarnya.
Jelasnya, siasatan mendapati suspek memanjat tembok bahagian tepi rumah dan masuk melalui tingkap yang terbuka di tingkat atas.
Siasatan di tempat kejadian dibantu oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor telah berjaya mengambil beberapa sampel bagi tujuan mengenal pasti identiti suspek.
“Rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran turut diteliti bagi membantu siasatan,” katanya.
Wan Azlan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dan IPD Subang Jaya berjaya menahan suspek lelaki berusia 31 tahun dan suspek wanita berusia 26 tahun dalam dua serbuan di Klang dan Kuala Langat.
“Turut dirampas sebuah kereta, dua buah telefon bimbit, sebuah tablet, pakaian, dokumen diri dan beg,” ujarnya.
Polis percaya dengan tangkapan ini telah berjaya menyelesaikan satu kes samun berparang dan satu kes pecah rumah.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor S. Anthony John di talian 016-2093470.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami

