Onn Hafiz sangkal dakwaan Anwar Ibrahim

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyanggah dakwaan bahawa beliau bersikap sombong serta tidak mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak relevan sekiranya hanya kerana Barisan Nasional (BN) Johor membuat keputusan untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan prinsip serta mengambil kira suara majoriti rakyat Johor, bukannya kerana keangkuhan atau keengganan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip dan mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?” katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai respons terhadap pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyatakan rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz menegaskan, Kerajaan Negeri Johor tidak pernah bersikap angkuh dalam menerima pandangan atau bantuan, malah sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai aspek demi kepentingan rakyat.

“Kami tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan.

“Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah atas perkenan Sultan Johor.

Menurut beliau, dakwaan bahawa Johor tidak sehaluan dengan Putrajaya juga tidak berasas kerana kerajaan negeri selama ini membantu melaksanakan pelbagai inisiatif yang berada di bawah bidang kuasa kementerian Persekutuan.

Katanya, kerajaan negeri setiap tahun menyalurkan bantuan kepada sekolah dan bilik guru walaupun pendidikan terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), ibu pejabat polis daerah serta kem tentera meskipun ia berada di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga membantu hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam walaupun sektor kesihatan berada di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, apabila hasil negeri meningkat, kerajaan negeri bukan sahaja memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, malah turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor.

“Bagi Kerajaan Negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat,” katanya.

Sehubungan itu, Onn Hafiz mempersoalkan asas dakwaan bahawa Johor tidak memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan.

“Dengan rendah hati saya ingin bertanya, dalam perkara apakah Kerajaan Negeri Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan?” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Polis cari pemandu Perodua Kembara pandu berbahaya, langgar dua kenderaan

POLIS sedang mengesan pemandu Perodua Kembara yang disyaki memandu secara berbahaya hingga melanggar dua kenderaan sebelum melarikan diri dalam...

More Articles Like This