KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tetap tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek malah melihat isu berbangkit tentang pengiktirafan UEC itu bukan keutamaan kementerian tersebut.
Menurut Fadhlina, pendirian teguh itu berlandaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
“Sehingga kini KPM tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di SMPC dan KPM tidak melihat isu berbangkit tentang perkara itu sebagai keutamaan.
“Pendirian ini berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 yang sentiasa menjadi pegangan KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Baca artikel berkaitan: KPM arah tangguh guna iDME sehingga esok, sistem sedang dibaik pulih – Menteri
Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang mahu tahu pendirian KPM terhadap pengiktirafan UEC dan permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMPC.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan sahaja.
Dalam konteks itu, beliau memaklumkan, SMPC bukan sebahagian daripada institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 Akta 550.
“Oleh yang demikian, KPM tiada obligasi untuk memperuntukkan atau menginstitusikan sebarang sumbangan modal atau sumbangan bantuan penuh kepada SMPC,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram