Saya percaya ramai di antara kita yang sentiasa mengabaikan pengambilan sarapan pagi. Ada yang beranggapan, selagi tidak terasa lapar dan perut masih bertahan tidak mengapa jika dilewatkan sarapan. Tetapi tahukah anda, sebenarnya apa yang kita lakukan selama ini memberi efek kepada tubuh badan.
Jangan terkejut, jika anda masih bertubuh besar sedangkan anda hanya mengambil makanan dalam kadar sedikit sahaja pada setiap hari. Ini kerana sekiranya kita mengikut masa sarapan yang betul dan secara teratur, membolehkan proses metabolisme badan mempercepatkan pembakaran lemak. Sekali gus, menghasilkan berat badan yang ideal dan membantu kita dalam menjaga penampilan diri.
KENAPA PERLU SARAPAN?
- Sebaik bangun dari tidur, amalkan minum air suam kosong bagi melancarkan aliran darah.
- Untuk detoks, minum segelas air kosong bersama hirisan lemon atau teh herba. Bersarapan setelah satu jam bangun dari tidur.
- Bersarapan seawal jam 8.00 pagi adalah masa yang paling sesuai. Jangan tunggu selewat jam 9.00 pagi atau 10.00 pagi, ia sudah terlalu lewat serta mengganggu proses pembakaran lemak.
- Sarapan penting untuk menambahkan kembali gula dalam darah setelah kita tidur 8 jam sehari.
- Menurut satu kajian Jurnal Penyelidikan Obesiti, sarapan pagi secara teratur, boleh mengurangkan berat badan.
- Sarapan bukan sekadar untuk menambahkan tenaga semata-mata, malah merupakan pembuka ‘mood’ baik seseorang serta aura positif di pagi hari.
- Amalan bersarapan lewat, akan membuatkan kita makan lebih karbohidrat dan pengambilan kalori yang berlebihan dan akhirnya menyumbang kepada masalah obesiti.
- Ubah menu sarapan dari nasi lemak, roti canai ke bijirin atau susu. Sarapan hanya untuk memberi tenaga dan cukup sekadar hidangan ringkas sudah memadai.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

