
PENULIS agak hairan apabila ada pihak khususnya dalam Wanita UMNO sendiri bagaikan ‘cacing kepanasan’ apabila mengetahui Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mahu kembali menerajui sayap UMNO itu.
Lebih aneh beberapa penganalisis politik menganggap jika Shahrizat kembali menerajui Wanita UMNO ialah langkah ke belakang. Kenapa perlu terburu-buru membuat spekulasi atau tafsiran sedemikian? Biarlah ahli-ahli Wanita UMNO menentukan siapa yang mereka mahu?
Lagipun suka atau tidak, semua pihak dalam UMNO perlu mengakui bahawa sayap-sayap dalam UMNO memerlukan perubahan kepemimpinan.
Perlu diingat suatu ketika dahulu termasuk ketika ia diketuai oleh Shahrizat, Wanita UMNO dihormati oleh lawan dan kawan.
Malah penulis masih ingat dahulu Wanita UMNO digeruni kerana kegigihan mereka meraih undi dan melaksanakan pelbagai program bagi menarik sokongan rakyat. Tetapi selepas itu, Wanita UMNO semakin lesu, tiada siapapun peduli apa yang dilakukan pergerakan itu.
Soalnya kenapa ia berlaku? ia disebabkan barisan kepemimpinan Wanita UMNO dilihat lemah, tidak bermaya dan seolah-olah ‘mati kutu’ untuk memastikan UMNO terus mendapat sokongan rakyat. Akibat kelemahan itu jugalah ia turut menyumbang kepada prestasi buruk UMNO dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.
Betul, isu kepemimpinan induk juga menjadi punca utama rakyat khususnya orang Melayu menolak UMNO tetapi Wanita UMNO juga perlu bertanggungjawab. Ramai melihat Wanita UMNO bukan lagi satu sayap digeruni dan keadaan menjadi bertambah parah apabila Pemuda dan Puteri juga ditafsirkan atau dilihat sekadar menjadi ‘pak turut’ dalam parti tersebut.
Oleh itu mahu tidak mahu, perubahan harus dilakukan dalam kepemimpinan Wanita UMNO, ia memandangkan pergerakan tersebut bukannya sekadar berbangga dianggap tulang belakang tetapi kesudahannya ‘habukpun tarak’. Justeru Shahrizat membuat penampilan semula bukan sahaja demi memperkukuhkan UMNO tetapi juga memulihkan kembali prestasi dan imej Wanita UMNO yang boleh dianggap merudum teruk.
Shahrizat boleh sahaja terus menjadi ahli biasa dalam pergerakan itu tetapi beliau tidak boleh mendiamkan diri apabila Wanita UMNO dianggap semakin hilang taringnya.
Ketika penulis berbual-bual dengan beberapa ahli Wanita UMNO di peringkat akar umbi, mereka bagaikan bersemangat semula apabila mengetahui Shahrizat mahu menerajui sekali lagi sayap itu. Sebelum ini mereka agak resah apabila tersebarnya cerita ada usaha untuk memastikan jawatan Ketua Wanita tidak ditandingi sepertimana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Bagaimanapun keresahan itu hilang apabila ia sekadar khabar angin atau cakap-cakap politik sahaja.
Atas sebab itulah bukan sesuatu yang mengejutkan apabila dilaporkan 147 bahagian Wanita UMNO menyokong Shahrizat untuk bertanding. Sama ada ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi atau tidak, biarlah ahli-ahli menentukan.
Tetapi apa yang pasti Wanita UMNO memerlukan perubahan kepemimpinan, mereka tidak boleh berada dalam kedudukan sekarang sehingga ada yang menganggap Wanita UMNO sama taraf sahaja dengan Puteri UMNO iaitu pelengkap organisasi. Mungkin tafsiran ini agak keterlaluan dan mungkin juga tidak benar tetapi ia menjadi tanggungjawab ahli-ahli Wanita UMNO untuk memperkasakan semula pergerakan itu.
Bak kata Shahrizat, “Wanita UMNO perlu inklusif dan sentiasa menunjukkan keberadaan sayap itu sebagai pasukan utama untuk membela rakyat seperti yang dilakukan selama ini. Saya bertanding semula bagi jawatan Ketua Wanita UMNO untuk memperkuatkan pasukan ini dan melebarkan sayapnya. Kita perlu memenangi hati dan minda rakyat serta negara ini sekali lagi.”
Benar, sememangnya Wanita UMNO perlu menunjukkan keberadaan sebagai pasukan utama bukan dilihat ibarat ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi.’
Kesimpulannya, biarlah ahli-ahli Wanita UMNO menentukan sama ada Shahrizat layak atau tidak kembali menerajui sayap itu tetapi yang pasti barisan kepemimpinan pergerakan tersebut perlu perubahan jika tidak mahu terus rebah bersama UMNO induk.

