Rahmah jadi sebutan, Restoran Rakyat wajar dikembalikan

Dari Penulis

DI MANA-MANA kini Rahmah menjadi sebutan, meniti dari bibir ke bibir. Bagi yang isteri atau buah hati bernama Rahmah, memang tersenyum lebar apabila nama ini disebut. Bangga nama orang yang disayang kini semakin popular.

Namun Rahmah yang penulis maksudkan bukanlah nama orang tetapi Menu Rahmah, menu kasih sayang dengan harga hanya RM5 bagi makan tengahari dan malam. Bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat, Program Menu Rahmah pada harga rendah diperkenal.

MENU Rahmah yang diperkenalkan di pasaran ketika ini.

Dianggarkan lebih 15,000 restoran merangkumi tujuh persatuan pengusaha makanan dan minuman memberi komitmen menyediakan Menu Rahmah di lokasi masing-masing. Angka ini dijangka bertambah dari masa ke masa.

Tentunya Menu Rahmah bermanfaat kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 membeli makanan di restoran pada harga mampu. Ia selari dengan matlamat menyediakan menu untuk golongan tersebut pada harga menasabah.

Dengan RM5, mereka boleh menikmati makanan merangkumi nasi, pilihan ayam atau ikan serta sayuran. Nampak ringkas, tetapi kandungan menu ini menyelera dan mengenyangkan dalam membantu golongan yang terkesan degan kenaikan kos sara hidup.

Malah besar kemungkinan ramai mereka yang lebih mampu pun mengambil kesempatan menjamu selera dengan Menu Rahmah. Jimat belanja, lagi pun bukan ada saringan yang menentukan mereka daripada golongan B40 atau bukan.

Apa yang signifikan daripada pelaksanaan Menu Rahmah ialah ia mengingatkan penulis kepada Restoran Rakyat yang pernah beroperasi di Kuala Lumpur pada tahun 70-an. Seperti konsep Menu Rahmah, restoran ini menyediakan menu pada harga murah untuk yang berpendapatan rendah.

Tun Abdul Razak menjadi pelanggan pertama Restoran Rakyat pada hari perasmian 30 Ogos 1973

Golongan sekarang mungkin tidak pernah mengetahui kewujudan Restoran Rakyat yang sudah lama tiada. Dengan matlamat meringankan beban rakyat, restoran kos rendah ini dibuka di Jalan Parlimen pada 1973, di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.

Bekas lokasi tapak restoran terletak di kawasan strategik berhampiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jalan Raja Laut sekarang, berhadapan bangunan DBKL lama serta berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad. Kerana itu juga akhirnya ia memberi laluan kepada pembangunan.

Diperkenalkan Tun Abdul Razak

Krisis ekonomi pertama pada 1973/74 mendorong kerajaan pimpinan perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, membantu meringankan beban sara hidup ditanggung golongan rendah. Restoran Rakyat dilihat sebagai satu cara rakyat boleh berjimat dengan menjamu selera pada harga rendah.

Misalnya nasi lemak untuk minum pagi hanya berharga 20 sen. Makan tengahari merangkumi lauk kari dan sayuran hanya berharga 80 sen. Memang rendah pada waktu itu menurut nilai mata wang ketika itu.

Ketika merasmikan Restoran Rakyat pada 30 Ogos 1973, Tun Razak menegaskan restoran berkenaan dibuka untuk memenuhi keperluan mereka yang berpendapatan rendah. Juga untuk para pelawat luar yang datang berkunjung ke ibu negara serta ingin menikmati juadah pada harga murah.

Bangunan Restoran Rakyat berkonsepkan Minangkabau. Kredit: harithsidek. blogspot.com

Beliau sendiri menjadi pelanggan pertama sempena perasmian serta membayar set makanan tengahari yang berharga 80 sen. Tentu bangga mereka yang berpeluang melayani perdana menteri ketika itu.

Malah sebenarnya Restoran Rakyat turut menjadi tumpuan golongan lebih berada kerana kosnya yang murah serta makanannya pula memenuhi cita rasa. Justeru Restoran Rakyat popular di kalangan semua peringkat masyarakat.

BERITA BERKAITAN Menu Rahmah hanya populis, rakyat nak KWSP dan kenaikan gaji

Untuk memastikan restoran ini tidak menjejaskan peniaga warung dan gerai makan, Tun Razak mengarahkkan operasi restoran dihadkan. Ia muka dibuka pada waktu pagi untuk sarapan dan seterusnya untuk makan tengahari sehingga pukul 3 petang.

Sejajar dengan matlamat membantu golongan B40, dan pengenalan Menu Rahmah, penulis berpendapat konsep Restoran Rakyat wajar dihidupkan kembali sebagai kemudahan tetap dan berterusan kepada orang ramai.

Namun tidak perlulah mendirikan bangunan seperti Restoran Rakyat dahulu yang berkonsepkan bangunan Minangkabau. Dengan kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur khususnya, serta tanah yang semakin berkurang, mencari tapak membina restoran ini bukan sahaja sukar tetapi kosnya tinggi.

Yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa ialah mencari rumah kedai sedia ada dan menjadikan unit rumah kedai tersebut sebagai restoran. Wujudkan seberapa banyak Restoran Rakyat bagi menampung keperluan orang ramai di merata pelusuk Kuala Lumpur, juga tempat lain.

Barangkali pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup boleh mencari jalan bagaimana usaha mengembalikan Restoran Rakyat ini boleh direalisasikan.

Secara tidak langsung kewujudan restoran ini akan menambah jumlah premis yang menyediakan menu murah untuk orang ramai. Lagi banyak lagi lagi baik agar khidmat lebih luas dan menyeluruh, memberi manfaat kepada lebih ramai yang memerlukan.

Konsep menu murah tidak seharusnya menjadi menu bermusim atau untuk jangka waktu tertentu sahaja. Sebaliknya ia hendaklah menjadi projek berterusan kerana sepanjang masa akan ada sahaja yang memerlukan. Tanpa mengira siapa menjadi kerajaan, menu murah mesti dipertahan.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor buka tirai Sabtu ini, keputusan bakal status quo?

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal dipalu secara rasmi Sabtu ini apabila tirai proses penamaan calon dibuka...

More Articles Like This