Firman Allah dalam ayat 11, “Wahai orang yang beriman. Janganlah sesuatu kaum lelaki menghina kaum lelaki yang lain. Boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari yang menghina. Dan janganlah pula wanita-wanita menghina wanita lain. Boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari yang menghina. Janganlah kamu saling mencela antara satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk”
Perkataan hina yang disebutkan dalam ayat ini menurut Sahlawati Abu Bakar, Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mengkhusus kepada menghina sesama Islam.
Jika kita perhatikan dalam ayat-ayat di atas, betapa sayangnya Allah kepada hamba Nya, sekecil-kecil adab sesama manusia pun tetap Allah berikan perhatian kerana Dia tahu segala perihal manusia yang sanggup bergaduh dan bertelingkah hanya disebabkan perkara-perkara kecil.
Dalam ayat ini juga Allah mengkhususkan larangan kepada lelaki dan perempuan. Ini bermakna perkara yang melibatkan celaan terhadap sesama manusia begitu penting kerana jarang sekali di dalam al-Quran kita menjumpai ayat-ayat merujuk kepada jantina. Lazimnya ia bersifat umum sahaja.
Bagi orang yang mencela, mereka lazimnya percaya bahawa mereka lebih baik dari yang dicela. Sedangkan hakikat yang pasti, tiada siapa yang lebih tahu siapa yang terbaik melainkan hanya Allah sahaja. Dan orang yang paling mulia di sisi Allah di sebutkan dalam ayat 13 iaitu orang paling bertakwa kepada Allah. Sudah pastinya juga seorang yang bertakwa tidak sesekali akan mencela sesama manusia.
Menyentuh lagi tentang ayat 11, terdapat satu lagi larangan yang Allah firmankan kepada hamba Nya iaitu jangan sesekali menggelar orang dengan gelaran yang tidak disukainya. Ia merupakan adat jahiliyah yang suka menggelar seseorang dengan gelaran buruk.
Kita lihat isu ini kelihatan remeh sahaja, sedangkan terdapat banyak lagi isu-isu yang lebih besar patut disebut dalam al-Quran. Tetapi mengapa Allah tetap memperingatkan hamba Nya dengan isu sekecil ini?
Ia tidak lain bagi menunjukkan bahawa Allah mengetahui segalanya walaupun isunya kecil, namun kesan dan implikasi yang dibawa begitu besar terhadap masyarakat manusia. Hinaan, celaan dan gelaran yang buruk bukan sahaja merendahkan maruah dan martabat seseorang, tetapi boleh membunuh emosi dan jati diri sehingga hilang keyakinan mereka.
Jangan makan daging saudaramu
Sementara itu dalam ayat dua belas surah al-Hujurat, Allah berfirman,
“Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah ada antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Adakah ada antara kamu yang suka makan daging saudaramu sendiri yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik.”
Allah melarang kita agar tidak berprasangka kerana itu merupakan dosa. Sekalipun adanya istilah husnu zon (sangka baik) dan su’u zon (sangka buruk) dalam Islam, namun ayat ini tidak menyebut sangkaan yang mana.
Pun begitu, semua jelas, istilah prasangka sebenarnya memberi konotasi kepada sangkaan buruk. Justeru itu, Allah melarang dari berprasangka.

Namun, inilah wabak yang telah membarah dalam masyarakat kita hari ini. Hanya kerana satu berita atau mungkin gambar yang dikongsikan tanpa ada kepastian benar atau tidak, terus sahaja terbit prasangka yang buruk tanpa adanya tabayun dalam menilai berita itu.
Dek kerana itulah di dalam Islam, Allah memberi peringatan agar jangan sesekali menyemai sifat prasangka. Ia lebih banyak menjurus kepada dosa. Seorang yang berprasangka pastinya peratusan untuk dia percaya tentang prasangka tersebut sangat tinggi.
Maksud yang paling mudah, sekiranya seseorang bersangka buruk pada orang tertentu, sebenarnya ia sudah menetapkan atau setkan dalam otak bahawa orang yang disangka itu seorang yang teruk. Datangkanlah apa pun alasan atau jawapan berfakta, pastinya mereka tetap akan bersangka buruk.
“Sebenarnya apabila kita bersangka buruk, ia menjadikan hidup kita tidak tenang. Ada sahaja yang diresahkan sehingga banyak perkara tidak dapat dilakukan.” Luah Sahlawati.
Selain dari larangan berprasangka, dalam ayat yang sama Allah turut melarang agar jangan sesekali mengintip. Mengintip yang dimaksudkan dalam ayat ini lebih kepada mencari keaiban orang yang kita prasangka. Dan larangan seterusnya ialah jangan pula kamu mengumpat. Apabila menyebut istilah mengumpat, ia tidak lain menceritakan keburukan atau keaiban orang lain tanpa diketahui oleh orang yang diaibkan itu.
Ayat dua belas yang disebutkan dalam surah al-Hujurat menjadi pakej lengkap, tentang larangan-larangan Allah kepada hamba Nya dalam menjadi hamba yang bertakwa dan memperoleh kemuliaan di sisi Allah.
Cukup indah ayat ini. Dari satu langkah ke satu langkah Allah beri peringatan agar orang yang beriman tidak tergelincir dari landasan keimanan. Apabila seseorang mempunyai prasangka buruk, sudah pasti ia akan mengambil langkah untuk mengintip bagi mencari keaiban dan kemudian menceritakan pula keaiban seseorang. Tindakan ini secara langsung menjadikan hidup masyarakat tidak aman dan selesa sehingga menimbulkan pertelingkahan.
Apapun tegas Sahlawati, sekalipun kita melihat keaiban seseorang, menjadi tanggungjawab kita untuk wajib menutupnya dan jangan sesekali didedahkan.
Sebenarnya dalam kes sebegini (kita tahu aib orang) terdapat ujian dari Allah untuk kita, sama ada kita mampu atau tidak menjadi orang yang beriman dan beramal dengan ayat al-Quran.
Bukankah dalam satu hadis, Baginda s.a.w. ada bersabda,
“seandainya kita menutup aib orang, maka Allah akan menutup aib kita di akhirat nanti.”
Jika kita pegang hadis ini, Insya Allah kita akan dipelihara Allah sebaiknya, kerana setiap orang punya aib mereka sendiri termasuklah kita.
Dan andainya kita tahu aib tersebut melibatkan jenayah, seperti isu yang disebutkan di atas, maka carilah saluran yang betul dan bukan mewar-warkan kepada masyarakat umum media sosial sehingga menimbulkan keresahan, ketidakharmonian dan pertelingkahan sesama masyarakat umum.
Dalam situasi ini Baginda s.a.w. pernah ditanya,
“Wahai Nabi s.a.w. apakah takrif mengumpat?” Tanya seorang sahabat. Lalu Baginda menjawab,
“Engkau bercerita perihal saudaramu dengan apa juga perkara yang tidak ia sukai.” Tanya sahabat lagi,
“Terangkanlah pada kami bagaimana jika saudaraku itu mempunyai sesuatu yang cela yang wajar aku katakan.”
Sabda Baginda s.a.w. lagi
“Seandainya ia mempunyai satu cela yang dapat engkau katakan bererti engkau telah mengumpatnya. Dan jika ia tidak ada sesuatu yang cela yang dapat engkau katakan, bererti engkau telah berdusta kepadanya.”
Pendek kata jika seseorang mempunyai keaiban dan kita ceritakan, itulah mengumpat. Tetapi jika tiada keaiban bermakna ia merupakan satu pendustaan baginya.

Hadis ini jelas, apa jua perkara aib yang kita ceritakan, itulah namanya mengumpat dan jika tiada cela, itu namanya kita sudah berdusta padanya. Nauzubillah min zalik.
Tidak perlu bercerita
Ironinya apa juga perkara baik atau buruk, tidak perlu kita ringan mulut bercerita atau ringan tangan menaip dan menaikkan status tentang keburukan orang lain, apatah lagi jika kita tidak pasti tentangnya. Inilah larangan yang begitu jelas Allah perintahkan dalam surah al-Hujurat.
Bahkan dalam ayat ini, mereka yang mengumpat diumpamakan seperti makan daging saudaranya yang sudah mati. Inilah betapa Allah begitu benci kepada orang yang mengumpat.
Hari ini, mengumpat tidak lagi hanya berjumpa di depan mata seperti dahulu, tetapi hari ini satu dunia bersama-sama mengumpat di depan skrin komputer atau telefon, sekalipun tidak berjumpa depan mata. Dan sudah pasti kesannya sangat teruk sehingga menyebabkan permusuhan sesama umat Islam.
Walaupun mungkin ada yang menyatakan ini tanggungjawab kami mendedahkan kepincangan atau keburukan seseorang supaya ramai yang peka dan berwaspada, namun fikirlah semula adakah tindakan itu menepati syariat Islam atau tidak. Gunakan saluran yang betul dan selamat jika ingin membantu supaya kita tidak menjadi hamba yang mendapat kemurkaan Allah.
Akhir sekali, apa pun kesalahan yang dilakukan, bertaubatlah kepada Allah, kerana Allah itu Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang. Sememangnya sifat ar-Rahim Allah adalah sifat yang sangat besar bagi Nya. Kuncinya dalam surah ini, segala teguran dan larangan Allah terletak pada ayat seruan (wahai orang yang beriman).
Hakikatnya jika kamu seorang yang beriman tetapi melakukan kesilapan atau kesalahan, bersegeralah bertaubat. Inilah point utama bagi orang yang beriman dengan segera bertaubat kerana sudah pasti taubatmu akan diterima Allah.
Jangan sesekali kita kata, kita banyak bersedekah, beribadah dan lainnya, kita akan masuk ke dalam syurga. Tidak sama sekali. Kita masuk ke dalam syurga dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah.
Oleh itu bertakwalah kepada Allah dengan perasaan takut kepada kemurkaan Allah. Tinggalkan segala apa yang dilarang. Insya Allah kita akan peroleh keberkatan hidup sama ada di dunia mahupun akhirat.
____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

