“Saya tak terkesan pun. Cuma, mungkin secara tak langsung sayalah yang pernah bersama dengan dia sebelum ini.”
Itu kenyataan pelakon Adam Shahz ketika diminta mengulas mengenai luahan bekas isterinya, Fatin Afeefa yang sudah penat menanggung biawak hidup.
Meskipun Fatin tidak menyebut nama orang yang dimaksudkan menerusi siaran langsung di TikTok baru-baru ini, namun rata-rata netizen mula ‘memetik’ nama Adam memandangkan mereka pernah hidup bersama.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan itu, Adam atau Nor Shah Azli Abdol Ghani, 42, menganggap apa yang dikatakan oleh Fatin itu mungkin ditujukan kepada pihak lain namun tidak dinyatakan secara terperinci.
ARTIKEL BERKAITAN : Fatin Afeefa luah dah penat tanggung biawak hidup – “Tapi suami saya baik saja…,”
“Kadang-kadang kita tengah seronok bercakap, jadi seronoklah semua kita ‘bantai’ cakap.
“Lepas tu, netizen pula terus serang tanpa usul periksa dan menuduh pula saya ada masalah dengan dia padahal tak ada apa-apa pun.
“Netizen macam itulah, kita kena faham sebab mereka suka cari pasal. Tapi sejujurnya saya langsung tak terkesan dengan kenyataan itu,” katanya kepada URTV.
Adam berkata demikian ketika ditemui pada majlis Openday & Buffet Ramadan yang merupakan perniagaannya bersama rakan kongsi di Hotel The Grand Campbell di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Adam turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap ayat biawak hidup itu mebuatkan Fatin enggan menyerahkan hak penjagaan anak perempuan mereka, Ivy Herra Sophia kepadanya berikutan risau jika dia tidak mampu membesarkan anak tunggal mereka.
“Kalau dia takut saya tak boleh jaga anak, saya sebenarnya ada kira-kira 60 penghuni rumah kebajikan yang saya usahakan bersama rakan.
“Segala kelengkapan penghuni di rumah itu adalah hasil daripada perniagaan termasuk mencari penaja luar.
“Kalau nak kata saya tak bagi anak makan, elok sahaja anak orang saya ‘bela’,” ujarnya.
Mahu hak lawatan, nak lihat anak membesar
Mengulas lanjut mengenai perbicaraan kes hak penjagaan anak pada 28 Februari ini di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Adam berharap akan berpihak kepadanya agar mereka dapat saling bertemu.
Malah, Adam juga akan tetap berpuas hati sekiranya keputusan pihak mahkamah itu nanti hanya memberi hak lawatan kepadanya.
“Kalau ikutkan saya mahu dapatkan hak penjagaan anak sepenuhnya, tapi bila difikirkan memutuskan silaturrahim anak dengan ibu atau dengan bapa itu perkara yang tidak sepatutnya.
“Bagi saya senang sahaja, kalau rasa boleh jaga anak, maka ambillah hak jagaan dan saya boleh ambil hak lawatan sahaja.
“Sebab saya juga tetap perlu lihat bagaimana anak saya membesar kerana dia perempuan. Kalau jadi apa-apa saya yang perlu bertanggungjawab,” jelasnya.
Tambah Adam, sudah empat bulan dia masih lagi belum dapat berjumpa dan berhubung dengan anaknya disebabkan tidak mendapat kerjasama daripada Fatin dan keluarga bekas isterinya itu.
“Macam mana saya nak telefon dan bercakap dengan saya kalau keluarga pihak sebelah sana menyekat panggilan telefon saya?
“Dah masuk empat bulan saya tak jumpa dengan anak. Walaupun adik dan abang ipar saya tak ‘blocked’ nombor telefon saya tapi takkan saya nak hubungi mereka untuk tanya tentang anak saya.
“Mereka tak tinggal serumah…saya tak mahulah ganggu mereka,” luahnya.
Untuk rekod, Adam dan Fatin berkahwin pada 2013 sebelum bercerai pada Mei 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Ivy Herra Sophia yang kini berusia lapan tahun.
Sebelum berkahwin dengan Adam, Fatin sudah memiliki cahaya mata lelaki, Adam Aisy Arrian, 10.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

