POLIS sedang berusaha mengesan pelaku dalam kejadian beberapa naskhah al-Quran dibuang di beberapa lokasi di Lembah Klang supaya dapat diambil tindakan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan, pihaknya sedang menyiasat penemuan naskhah al-Quran yang dibuang itu.
Jelas beliau, siasatan adalah di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama.
Pada masa sama, Acryl Sani memaklumkan, kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.
Menurut Acryl Sani, siasatan masih berlangsung dengan setakat ini, lapan individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi yang berkaitan akan sentiasa memantau serta mengambil tindakan bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia terpelihara.
“Dalam menjaga sensitiviti dan kesucian al-Quran, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin melupuskannya, sewajarnya mendapatkan nasihat daripada pihak jabatan agama Islam tempatan sebelum pelupusan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Polis ambil keterangan lapan individu kes penemuan al-Quran dalam longkang
Mengulas lanjut, Acryl Sani turut menasihatkan masyarakat agar tidak gusar dan mengelak daripada membuat spekulasi kejadian yang pernah berlaku sebelum ini.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung siasatan ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan untuk menyalurkannya,” jelas beliau.
Media pada 19 Februari lalu melaporkan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab ditemui di dalam longkang berhampiran kolam takungan banjir Taman Sri Murni, Kuala Lumpur.
Sebuah klip video mengenai penemuan al-Quran itu turut tular di platform media sosial TikTok sebelum polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 52 tahun berhubung penemuan itu.
Semua naskhah al-Quran berkenaan dibawa ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama, sebelum laporan polis dibuat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis telah selesai mengambil keterangan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata polis akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengenal pasti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, surau dan masjid berhampiran.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

