HARI ini berlangsungnya majlis resepsi perkahwinan pasangan selebriti Fuad Rahman dan Tom yang diadakan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru.
Majlis yang diadakan di lokasi sama acara Starvendor Foodstival X Nunsatara Music Festival anjuran StarVendors itu berlangsung penuh warna-warni dan meriah dengan kehadiran rakan artis serta peminat yang meraikan pasangan sama cantik sama padan itu.
Majlis tersebut sekali gus mencipta rekod apabila mereka menjadi pasangan selebriti pertama yang melangsungkan resepsi di acara StarVendors.
Menariknya, resepsi tersebut telah ditaja oleh pihak Star Vendors dengan jumlah tajaan sebanyak RM1 juta.

“Terima kasih kepada Kak Ifa Raziah dan pasukannya kerana meraikan perkahwinan kami ini.
“Saya tak sangka kerana niat hanya ingin buat yang sederhana sahaja. Syukur alhamdulillah,” kata Fuad.

Pada 26 Februari lalu, Fuad yang juga penyanyi berasal dari Singapura sah menikahi Tom sebagai isteri dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Batam, Indonesia.
Tom atau nama lengkapnya Raja Farah Afzal Raja Ikram menerima mas kahwin sebentuk cincin daripada Fuad. Bagaimanapun nilai mas kahwin dirahsiakan.
Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah yang dilantik dengan disaksikan oleh dua orang abang kandung Fuad iaitu Rozlan Abdul Rahman dan Rasli Abdul Rahman serta berwalikan adik lelaki Tom, Raja Ahmad Faris Afiq.
Berkongsi mengenai detik percintaan mereka berdua, Fuad tidak menyangka apabila jodoh mereka yang sebelum ini terhenti kembali bertaut semula selepas sama-sama menyertai Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9).
“Kalau ingin berkongsi mengenai detik bercinta itu, sudah lama sebenarnya. Kami bercinta daripada dahulu, cumanya ‘on off’ sahaja. Kemudian kami tidak berhubung untuk masa yang lama.
“Kami tidak dijodohkan ketika itu apabila Tom sudah berkahwin lain dan saya berjumpa dengan jodoh saya. Kemudian siapa sangka, takdir menemukan semula kami di GV9.
“Sejak daripada GV9 saya merasakan itu masa yang paling tepat untuk pilih dia sebagai isteri. Daripada GV9 juga saya dah beritahu Tom saya ingin bersama dia sampai keluar uban saya, sampai akhir hayat.
“Saya memang sangat sayang dia, berjumpa keluarga pihaknya dan pihak saya. Semua terima dengan baik dan gembira bila tahu kami ingin mendirikan rumah tangga,” kongsi Fuad.
Pasangan itu mengambil pentas utama acara Foodstival dengan hiasan pelamin yang cukup mewah sambil diraikan oleh ribuan tetamu.
Starvendor Foodstival X Nunsatara Music Festival telah berlangsung pada 3 hingga Mac dengan kerjasama Tourism Johor.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

