SUSULAN insiden ditumbuk, isteri kepada aktor kontroversi Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri menganggap apa yang berlaku itu sebagai petunjuk daripada Allah untuk dia terus melangkah ke hadapan bersama dua orang anaknya.
Malah, kesan parut di pipi akibat 10 jahitan yang diterimanya itu juga disifatkan sebagai ‘hadiah’ sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-29.
Katanya, selama ini dia menjadi mangsa penindasan suami sendiri dan kini sudah tiba masanya untuk dia tidak lagi bersangka baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis mohon perintah mahkamah halang Hafidz Roshdi dekati Nurul Shuhada, Ahli keluarga sahkan Nurul Shuhada ditumbuk oleh Hafidz Roshdi
“Jahitan ini lagi sakit daripada melahirkan. Nasib baik tak kena dekat mata, nanti buta sebelah pula.
“Selama ini, saya memang dah ditindas, cukuplah saya bagi muka dan bersangka baik. Apa yang sudah terjadi, Allah nak tunjuk saya memang tak boleh toleh ke belakang lagi.
“Saya perlu terus memandang ke hadapan dengan anak-anak saya, sama-sama ke depan. Cukuplah,” katanya.
Nurul Shuhada berkata demikian menerusi temu bual bersama program Melodi. Malah, dapat dilihat kesan jahitan di pipi selain lebam-lebam di bawah mata kesan ditumbuk.
Sementara itu, Nurul Shuhada akui anak-anak masih kecil dan masih memerlukan kasih sayang seorang bapa. Justeru, dia tidak mahu menyimpan dendam terhadap Hafidz dan enggan memutuskan hubungan dengan darah daging sendiri.
“Anak-anak memang tak diberitahu apa-apa lagi, saya tidak mahu memburukkan ayah mereka.
“Mereka perlukan seorang ayah dan saya tidak akan putuskan hubungan antara mereka,” luahnya.
Sementara itu, Nurul Shuhada tetap positif dan yakin akan ada pelangi selepas hujan.
“Walau berat macam mana pun saya kena terima. Kalau ujian orang ketiga memang sangat berat, Allah tambah lagi ujian yang lebih berat untuk saya. Ia membuatkan saya yakin akan bahagia dan berjaya dengan anak-anak.
“Allah akan bagi yang lagi baik, yang lagi hebat. Saya memang betul-betul meletakkan 100 peratus kepada Allah,” katanya.
Sementara itu, Nurul Shuhada sempat mengucapkan selamat pengantin baharu sekiranya Hafidz dan Athira Yuhada, wanita yang merupakan penyondol atau orang ketiga dalam hubungan rumah tangga mereka itu bakal berkahwin.
“Kalau betul Hafidz dan Athira berkahwin, saya mengucapkan selamat pengantin baharu.
“Hiduplah bahagia, tenang dan dirahmati Allah. Semoga perkahwinan anda berdua kekal hingga ke jannah,” ujarnya.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.
Hafidz melafazkan cerai terhadap Nurul Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu.
Nurul Shuhada memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.

