MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjawab isu berhubung surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada UMNO di Dewan Rakyat, esok.
Dalam hantaran di Facebook, Saifuddin memaklumkan akan memberi penjelasan lanjut berhubung peruntukan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkannya, pagi tadi.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan perlu menghormati pertanyaan yang dikemukakan beberapa ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini terkait isu berkenaan.
“Saya tahu ramai media yang ingin dapatkan penjelasan lanjut berhubung kait dengan peruntukan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 sebagaimana kenyataan media saya pagi tadi.
“Tapi saya juga perlu hormati pertanyaan yang dikemukakan beberapa ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.
“Maka, saya akan ambil ruang esok untuk menjawab hal berbangkit dalam perkara ini di Dewan Rakyat, Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan mengenai surat yang didakwa dikeluarkan RoS berhubung pemilihan UMNO.
Takiyuddin mendakwa, surat itu menyatakan usul tambahan dalam PAU 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tidak sah.
Baca artikel berkaitan: Shahidan kemuka usul tergempar isu surat RoS, esok
Dalam surat bertarikh 2 Mac itu, Takiyuddin mendakwa RoS berpandangan, usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.
Tegasnya, sekiranya surat itu tulen, ia bertentangan dengan kenyataan media Saifuddin Nasution hari ini, yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
Saifuddin sebelumnya memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.
Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.
Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS yang dibacakan Takiyuddin, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pula memaklumkan akan mengemukakan usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), esok bagi mendapatkan pengesahan lanjut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

