PEREKA fesyen terkenal dibawah jenama Rizman Ruzaini meluahkan rasa syukur dan gembira apabila Usanita bersetuju untuk menjadi rakan strategik pada majlis pelancaran koleksi Raikan Raya Bersama Rizman Ruzaini 2023 yang berlangsung, baru-baru ini.
Menurut Rizman Nordin, hubungan baiknya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd iaitu Datin Seri Adzliana Hasan telah memberikan suntikan semangat kepada usahawan khususnya golongan wanita.
“Saya dengan Datin Nana (Adzliana) memang dah kenal lama. Saya memang suka dengan perjuangannya untuk memartabatkan usahwan-usahawan terutama golongan wanita.
“Jadi, saya terpanggil untuk menjemput Datin Nana untuk menjadi rakan strategik kami untuk acara memperkenalkan koleksi raya Rizman Ruzaini 2023,” katanya kepada URTV.
Sementara itu, Adzliana berkata, Usanita merupakan pemudahcara bagi usahawan dengan pihak kerajaan atau badan-badan berkaitan keusahawanan.
Usanita cuba membantu mendekatkan usahawan yang memerlukan bantuan atau mereka yang berminat untuk berniaga dengan badan-badan berkaitan.
“Usanita juga memandang bahawa fesyen sangat penting untuk menata gaya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) terutama golongan B40.
“Saya rasa kolaborasi bersama Rizman Ruzaini ini adalah satu rakan strategik yang tepat untuk kita nak membantu usahawan IKS.
“Sebab mereka tak semua berkemampuan tetapi di Rizman Ruzaini, mereka ada pilihan bagi B40 yang bersesuaian untuk digunakan dalam bidang perniagaan,” ujarnya.
Terus kekalkan kerjasama
Dalam pada itu, menurut rakan duo Rizman iaitu Ruzaini Jamil, mereka ada melancarkan program perniagaan tudung dan beg tangan di bawah label RR Empire dalam usaha membantu orang ramai menjana pendapatan tanpa mengeluarkan sebarang modal.
Kata Ruzaini, peluang itu dibuka kerana mahu memartabatkan kaum wanita untuk meraih pendapatan sendiri.
“Kami memang ada dalam perancangan untuk meneruskan kerjasama dengan Usanita. Malah, kami juga ada tubuhkan RR Empire sebab nak membantu kaum wanita yang merupakan suri rumah, ada yang diberhentikan kerja, ada ibu tunggal dan sebagainya.
“Jadi peluang di RR Empire itu sebenarnya kita nak mereka menjadi ikon. Sedikit sebanyak ada melibatkan kerjasama dengan Usanita.
“Mungkin akan ada satu program yang akan kita rancang bersama Usanita,” ujarnya.
Tambah Rizman, pihaknya juga sebelum ini pernah menyertai Boot Camp Usanita 2.0 yang dianjurkan unutk memberi semngat kepada usahawan wanita.
“Kita dah pernah ada kerjasama dengan Usanita antaranya buat Boot Camp Usanita 2.0 yang mana saya rasa sangat suka dan berpeluang berjumpa dengan mereka yang ada potensi untk berjaya dalam bidang perniagaan.
“Sekurang-kurangnya, kita dapat memberi inspirasi atau boleh berkongsi idea serta pengalaman dengan mereka. Itu antara yang terbaik yang kita buatlah, Insya-Allah,” katanya.
Luah Adzliana, paling penting dalam menyebar luaskan usaha memartabatkan perniagaan usahawanita ini ialah saling memberi sokongan antara satu sama lain.
“Dalam berkolaborasi ini adalah ‘give and take’ antara Usanita dan Rizman Ruzani yang saya sokonng.
“Saya rasa, itu adalah yang paling penting,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

