TENAGA Nasional Berhad (TNB) sedang giat memulihkan bekalan elektrik di daerah-daerah
di Johor dan Pahang yang terjejas akibat banjir dengan keselamatan awam sentiasa menjadi
pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.
Sehingga jam 8 pagi hari ini, TNB telah dapat menyambungkan semula bekalan secara
berperingkat, 70.68% daripada kawasan terjejas di Johor telah berjaya dipulihkan, Pahang
(92.69%) manakala Melaka dan Negeri Sembilan telah pulih sepenuhnya.
Menurut Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder (Chief Regulatory &
Stakeholder Management Officer) TNB, Datuk Ts. Shamsul Ahmad, warga kerja barisan
hadapan TNB sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara
berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
“Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar
berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suisnya. Jangan menyentuhnya dengan
tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik,” katanya ketika
meninjau keadaan semasa banjir di Negeri Johor semalam (6 Mac 2023).
Terdahulu beliau meyampaikan maklumat terkini kepada Mesyuarat Task Force Banjir di
Negeri Johor yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan
Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh di Bilik Mesyuarat Jabatan
Kerja Raya (JKR) Daerah Muar.
Shamsul kemudian menyerahkan bantuan kotak makanan TNB kepada mangsa-mangsa
banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat dan
menziarahi keluarga mangsa banjir yang juga warga kerja TNB, Mohd Ridzwan Mohd Shah,
di Kangkar Tebrau, Johor Bahru.
TNB sentiasa peka dan turut bersimpati dengan keperitan rakyat yang sedang diuji bencana
dan memastikan bekalan ke semua PPS berada dalam keadaan baik dan berdaya harap
sambil menghulurkan bantuan makanan kepada beberapa PPS di Muar, Batu Pahat dan
Johor Bahru.
Selain bantuan makanan, TNB juga memperuntukkan RM50,000 bantuan kewangan dan
barangan keperluan kepada mangsa banjir di Johor sebagai tambahan kepada kira-kira
RM1.73 juta untuk kos penyediaan 45 set janakuasa bergerak yang dihantar ke Johor bagi
membantu negeri itu yang dilanda banjir.
BERITA BERKAITAN Dewan Rakyat setuju bahas usul tergempar banjir
Shamsul berkata, TNB akan segera memberikan semula bekalan elektrik sebaik keadaan
infrastruktur dan keselamatan premis pengguna mengizinkan, dengan pemeriksaan
menyeluruh pendawaian perlu dilakukan oleh kontraktor berdaftar dengan Suruhanjaya
Tenaga (ST) demi keselamatan mereka.
“Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan
rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik. Pendawaian dan peralatan elektrik yang
ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi
mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Di pihak TNB pula, katanya, tindakan utama ialah memulihkan pencawang dan aset lain
seperti tiang tumbang dan membaik pulih kabel dengan mengujinya untuk memastikan ia
selamat bagi menyalurkan bekalan.
TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak
berkuasa dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang
beralih atau tumbang.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

