INSTITUT Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) melakar sejarah baharu apabila usahawan bimbingannya berjaya menyumbang RM21 juta kepada ekonomi negara pada tahun 2022.
INSKEN dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan itu berjaya dihasilkan melalui pelaksanaan 38 program bimbingan di bawah institut tersebut.
Menurut INSKEN, ia termasuk program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC); Online Onboarding Coaching Programme (E-Board); Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
“Laporan pencapaian tahun 2022 menunjukkan INSKEN berjaya melatih 21,385 usahawan melalui 502 program latihan dan bimbingan.
“Jumlah itu melebihi sasaran awal iaitu 13,390 usahawan dan 422 program,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, INSKEN sentiasa mengekalkan momentum kecemerlangan seumpama ini kerana program yang dilaksnaakan adalah berasaskan keperluan semasa usahawan.
“Pelbagai kisah kejayaan telah dibuktikan bukan sahaja melalui laporan pencapaian tahunan, malah turut diakui usahawan-usahawan yang menyertai program anjuran INSKEN.
“Saya percaya dengan kesungguhan INSKEN membantu usahawan di seluruh negara, lebih ramai akan dapat memajukan perniagaan dan seterusnya membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” jelas beliau.
Program IBBC merupakan antara program utama yang dapat diukur keberkesanannya.
Secara keseluruhan, program IBBC telah menghasilkan RM18.5 juta nilai peningkatan jualan keseluruhan pada tahun 2022 yang menjadikannya sebagai penyumbang terbesar kepada pencapaian INSKEN.
Baca artikel berkaitan: INSKEN kekal momentum kecemerlangan, tingkatkan jualan RM11 juta
Tahun lalu, seorang usahawan, Noraziran Taip yang menjalankan perniagaan jahitan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga 255 peratus dalam jangka masa empat bulan selepas mengikuti program IBBC.
Nor Hidayah Radzli pula merupakan peserta cemerlang yang berjaya meningkatkan 221 peratus hasil jualan apabila mengikuti program Bimbingan Pembangunan Produk.
Sementara itu, Nurul Nur Amira Buang pula telah melonjakkan hasil jualan sebanyak 515 peratus selepas mengikuti Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Secara keseluruhan, Program Bimbingan Pembangunan Produk melaporkan RM295,000 nilai peningkatan jualan dan Program Bimbingan Keuntungan Menu pula merekodkan RM794,000 tahun lalu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin meluahkan keyakinan sasarannya tahun lalu untuk membantu lebih ramai usahawan mikro dan tidak formal telah tercapai apabila melihat laporan pencapaian tahun 2022.
Jelas beliau, INSKEN juga telah bekerjasama dengan agensi-agensi yang mempunyai usahawan dalam kategori tersebut seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Tahun lalu, INSKEN telah melaksanakan 311 program kolaborasi bersama agensi seperti AIM, Tekun Nasional, Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB) dan Professional Training And Education For Growing Entrepreneurs (PROTEGE).
“Untuk tahun ini, INSKEN akan terus melaksanakan kesemua program latihan dan bimbingan sedia ada dengan penambahan dua program baharu iaitu Program Urus Kewangan Untuk Perniagaan Kecil dan Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis (KAPPS),” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

