TIGA program bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) berjaya membantu 141 usahawan mencipta peningkatan hasil jualan berjumlah RM3.8 juta.
Tiga program bimbingan tersebut adalah INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC); Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
INSKEN dalam kenyataan memaklumkan, 14 pekerjaan baharu turut berjaya dicipta menerusi program IBBC.
Menurut INSKEN, peningkatan hasil jualan itu merangkumi RM3.3 juta daripada 51 peserta IBBC; RM49,000 hasil usaha 30 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM476,000 daripada 60 usahawan yang menyertai Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick memaklumkan, program anjuran INSKEN itu juga berjaya membantu sembilan usahawan bertukar status kepada kategori perusahaan kecil daripada kategori mikro.
Beliau berkata, pencapaian itu amat cemerlang terutama buat dirinya yang baru sahaja memulakan tugas dan menerajui kementerian berkenaan.
Ewon turut menegaskan bahawa agenda memperkasa usahawan di seluruh negara khususnya Sabah dan Sarawak akan terus diperhebatkan lagi.
Baca artikel berkaitan: Program bimbingan Insken berjaya cipta RM3.1 juta jualan
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pencapaian cemerlang itu menjadikan institut berkenaan semakin bersemangat untuk melaksanakan lebih banyak lagi program pada tahun 2023.
Jelasnya, program bimbingan yang dimulakan sejak 2017 itu sering menunjukkan prestasi baik dan wajar diteruskan supaya usahawan-usahawan yang dibimbing dapat menyumbang kepada ekonomi negara.
“Sepanjang tahun 2022, program INSKEN telah mencipta RM8.7 juta lonjakan hasil jualan, 100 peluang pekerjaan baharu dan 37 perniagaan bertukar status kepada perusahaan kecil.
“Pencapaian keseluruhan tahun ini direkodkan melalui pelaksanaan 38 program bimbingan yang telah tamat dan terdiri daripada 1,395 usahawan,” jelas beliau.
Selain program IBBC, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu, terdapat 1 lagi kumpulan usahawan permulaan yang turut bergraduasi hari ini iaitu Program INSKEN Start-Up Coaching.
Pencapaian program berkenaan diukur melalui peningkatan skor diagnostik dan pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara sah.
Seramai 180 usahawan yang bergraduasi semalam telah mengikuti tujuh program INSKEN dan tiga daripadanya adalah melalui hasil kolaborasi bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN telah dirasmikan Ewon, semalam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

