PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mungkin akan ‘bermalam’ di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, hari ini.
Memetik laporan BH Online, pegawai penyiasat SPRM akan menentukan sama ada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan bermalam di lokap malam ini.
Bagaimanapun, laporan memetik sumber itu memaklumkan, Ahli Parlimen Pagoh itu masih berurusan dengan pegawai SPRM.
Pada masa sama, belum dapat dipastikan berapa lama urusan tersebut akan selesai.
“Beliau akan didakwa di mahkamah esok tetapi bergantung kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya,” kata sumber.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bekas Perdana Menteri itu akan didakwa di mahkamah esok.
Jelas Azam, SPRM sedang mengambil keterangan Muhyiddin dan beliau tidak akan dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Baca artikel berkaitan: PM tidak campur tangan urusan SPRM libatkan Muhyiddin
Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya disambut ratusan penyokong beliau pada pukul 11.15 pagi.
Beliau kemudiannya masuk ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11.23 pagi.
Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, Ketua Penerangan Bersatu ketika itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dikenakan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.
Turut didakwa adalah Teo Wee Cheng yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh – kebetulan adalah kubu bekas Perdana Menteri itu.
Pertuduhan-pertuduhan itu adalah berkaitan skim Jana Wibawa – inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas COVID-19.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

