Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia antara kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri Jepun di Hotel Pullman, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEJARAH tercipta apabila Malaysia bakal membuka kampus cawangan universiti Tsukuba, menjadikannya kampus cawangan universiti Jepun yang pertama ditubuhkan di luar negara berkenaan.

Perkara itu menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, merupakan satu pengiktirafan kepada pengurusan pendidikan tinggi negara dan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Jepun.

Katanya, beliau yakin penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba akan memberi peluang dan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang dan melanjutkan pelajaran di negara ini.

“Selain itu, penubuhan kampus cawangan ini juga dilihat sebagai tanda penghargaan Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Jepun dan kesinambungan terhadap Dasar Pandang ke Timur yang sudah mencecah 40 tahun.

“Semoga pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC ) ini akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara dan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan global dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama (MoC) antara Kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) dan Kementerian Luar Negeri Jepun berhubung penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia hari ini.

Baca lagi: Khaled mahu pertahan jawatan Naib Presiden UMNO

Mengulas lanjut, Khaled berkata, cadangan penubuhan sebuah kampus cawangan institusi pendidikan tinggi Jepun di Malaysia telah diutarakan oleh kerajaan terdahulu pada 2018.

Katanya, Kerajaan Jepun menyambut baik cadangan tersebut dan seterusnya mencadangkan supaya kampus cawangan Universiti Tsukuba ditubuhkan di Malaysia.

“MoC ini sebagai asas persetujuan yang merangkumi objektif, ruang lingkup dan bentuk kerjasama, serta perincian komitmen kewangan oleh kedua-dua buah negara.

“Pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Kuala Lumpur akan membantu kementerian untuuk mengukuhkan tiga dinamik utama yangmewakili keunggulan sesebuah university iaitu akademik kecemerlangan, jangkaan industri dan kematangan pengalaman.

“Selain itu, ia juga mengesahkan potensi dan keupayaan negara untuk menjadi hab bakat dan pengetahuan global dalam usaha mencapai impian Malaysia untuk membangunkan sistem pendidikan tinggi terkemuka yangmembolehkan kita muncul sebagai destinasi pilihan,” ujarnya

Khaled menambah, kerajaan sentiasa membuka pintu kepada universiti yang mempunyai reputasi tinggi untuk menubuhkan kampus cawangan di Malaysia.

Jelas beliau, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada lebih 100 institusi awam dan swasta termasuk 10 kampus cawangan luar negara melibatkan universiti ternama dari United Kingdom, Ireland, China, Australia dan kini adalah Jepun.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram