JIKA dahulu dia pernah berada di puncak kejayaan, kini Zuriati Mohamed Yusoff yang berkhidmat sebagai jurulatih perkhidmatan insurans harus akur dengan takdir Yang Maha Esa apabila ‘jatuh terduduk’ saat berdepan 25 pertuduhan kes pengubahan wang haram bernilai RM1.8 juta, empat tahun lalu.
Namun selepas pelbagai usaha, naik dan turun mahkamha, akhirinya kini Zuriati bangkit semula setelah dibebaskan daripada semua pertuduhan pada 10 Mac lalu.
“Jika dahulu saya berada di puncak, mengecap segala kemewahan namun kini hidup saya berubah dalam sekelip mata.
“Bayangkan daripada seorang yang tidak mempunyai masalah kewangan, berkereta mewah, hidup senang tapi keadaan menjadi sebaliknya apabila akaun saya dibekukan.
“Dari mempunyai kereta berjenama mewah BMW, saya terpaksa pinjam kereta adik iaitu Perodua Viva untuk pergi ke mana-mana. Dari rumah banglo yang saya diami bersama keluarga kini aya terpaksa menyewa di sebuah rumah yang lebih kecil.
“Paling sedih bila saya terpaksa serahkan syarikat agensi yang saya bina sendiri sejak 20 tahun lalu kepada orang lain,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zuriati bersyukur kerana dibelakangnya masih ada keluaarga yang memberi sokongan padu dari awal sehinggalah kes selesai.
Dedahnya lagi, jika tanpa suami, anak-anak serta adik-beradik, dia hampir mencederakan diri sendiri kerana tidak sanggup menghadapi tekanan hidup.
“Saya pernah sampai satu tahap alami tekanan perasaan. Terpaksa berdepan dengan kata-kata negatif orang sekeliling yang dilontarkan kepada saya.
“Saya juga pernah mencederakan diri dan ketika itu fikir kalau saya mati, ia mungkin akan selesaikan semua perkara.
“Mujurlah suami dan anak-anak tidak putus asa memberikan sokongan serta semangat untuk saya mulakan hidup baru.
“Sebab itulah, saya kini berasa seperti mati hidup semula. Seolah-olah diberi nyawa kedua untuk bangkit semula,” luahnya.
Sementara itu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, anak guamnya telah didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram.
“Anak guam saya didakwa memperdaya seorang individu bergelar VVIP bagi mendapatkan satu cek bernilai RM1,849,719.75 dengan memalsukan resit pembelian enam polisi insurans yang mana adalah tidak wujud.
“Perbicaraan yang telah berlangsung selama sembilan hari secara keseluruhannya merangkumi keterangan yang diberikan 24 saksi pendakwaan sebelum Hakim Mahkamah Sesyen mengarahkan anak guam saya untuk membela diri.
“Enam saksi telah dikemukakan oleh anak guam saya di peringkat pembelaan termasuk seorang saksi pakar,” katanya.
Jelas beliau, setelah hampir dua minggu selepas penghakiman dikeluarkan, anak guamnya bersyukur dengan perintah pelepasan dan pembebasan ke atas kesemua pertuduhan.
“Perjuangan beliau secara keseluruhan membuktikan setiap ejen Unit Amanah dan Takaful di Malaysia mempunyai hak untuk berjuang atas segala tuduhan pelanggan mereka di mahkamah,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Zuriati yang juga bekas pengarah sebuah syarikat agensi insurans didakwa menerima wang berjumlah RM1,849,719.75 yang merupakan hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa bank milik syarikat Millionaire Synergy Sdn Bhd.
Bagi empat pertuduhan, Zuriati didakwa menggunakan wang antara RM20,000 hingga RM90,000 melalui cek bank sebagai pembayaran kepada dirinya dan seorang individu lain.
Manakala, bagi 20 pertuduhan lain, tertuduh didakwa memindahkan wang antara RM10,000 hingga RM435,080 daripada akaun semasa syarikat itu ke dalam akaun miliknya dan 17 individu berbeza.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini antara 21 Mei hingga 6 Julai 2018.
Pendakwaan terhadap Zuriati dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

