BIARPUN keadaan kesihatannya masih belum sembuh sepenuhnya, namun aktres Fasha Sandha sudah kembali ke lokasi penggambaran.
Jua, selama puluhan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, belum pernah produksi menghentikan penggambaran disebabkan dirinya.
Malah, Fasha juga tidak mahu menyekat rezeki tenaga kru produksi jika penggambaran ditangguhkan beberapa hari lagi.
“Saya selalu fikir bila kiita mudahkan kerja orang, Insya-Allah urusan saya pula akan dipermudahkan.
“Kalau saya tak teruskan penggambaran, nanti bayaran kepada kru-kru produksi akan dapat lambat. Biar saya sakit tapi tidak menyekat rezeki orang.
“Walaupun agak sakit sedikit disebabkan kecederaan yang saya alami tapi yang penting saya permudahkan urusan orang lain,” katanya kepada URTV.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi raya pakaian Alfaro sekaligus pengumuman dirinya sebagai duta jenama terbabit di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Fasha akui pada awalnya keputusan untuk meneruskan penggambaran mendapat tentangan suaminya iaitu pelakon Aidil Aziz.
Malah, dia akui terlalu memikirkan tentang orang lain walaupun ketika itu keadaan kesihatannya tidak membenarkan dia bekerja sehingga keluarganya mula ‘menegur’ sikapnya itu.
“Memang suami dan keluarga agak keberatan untuk membenarkan saya sambung semula penggambaran drama tersebut sebab mata saya belum pulih sepenuhnya.
“Mereka bertanya pada saya betul ke saya nak sambung semula kerja penggambaran. Saya ini selalu fikirkan keadaan orang lain barulah diri sendiri.
“Mama saya pernah memarahi saya selain orang sekeliling pun ada menegur sikap saya itu.
“Perkara pertama yang saya fikir bila kejadian tercedera itu ialah ‘shooting’. Saya sampai cakap dekat produksi ‘boleh ke kita sambung penggambaran?’ biarpun ketika memang tengah menahan sakit,” ujarnya.
Kata Fasha lagi, pengarah Along Kamalauddin memberikan dia tempoh untuk berehat dan boleh kembali semula bekerja sekiranya sudah sembuh sepenuhnya.
“Tapi pengarah drama terbabit iaitu Along Kamaluddin tak benarkan saya sambung kerja.
“Dan dia berikan saya tempoh untuk berehat sehingga betul-betul sihat. Selama 20 tahun berlakon, belum pernah lagi penggambaran ditangguhkan sebab Fasha Sandha,” katanya.
Terdahulu, Fasha mengalami kecederaan pada bahagian mata sewaktu melakonkan babak lakonan dalam drama Anak Tuan bersama Azhan Rani.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

