AKTRES terkenal, Fasha Sandha berpendirian tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan pemilihan pelakon baharu, Firdaus Karim sebagai hero dalam drama Doa Yang Terlindung tidak sepatutunya timbul, lebih-lebih lagi ketika naskhah itu masih di peringkat awal siaran.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 42, berkata, sebagai pelakon utama yang digandingkan dengan Firdaus dalam drama bersiri slot Akasia TV3 itu, dia percaya sepenuhnya terhadap bakat serta kesungguhan ditampilkan pelakon berkenaan.
Menurutnya, sepanjang perjalanan karier lakonannya, dia tidak pernah meletakkan kepentingan terhadap pemilihan hero kerana yakin pihak produksi termasuk pengarah, penerbit dan stesen televisyen akan membuat keputusan terbaik.
“Dari dulu saya memang tak pentingkan siapa hero. Saya percaya pada pilihan pengarah dan penerbit.
“Bila sampai set penggambaran, itulah hero saya dan saya akan menyesuaikan diri,” katanya kepada URTV.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta jenama Mustajab di Setapak, hari ini.

Sementara itu, Fasha turut mengimbas pengalaman terdahulu apabila digandingkan bersama aktor Wan Raja dalam Dendam Seorang Isteri serta Nazim Othman menerusi Lara Aishah, di mana dia hanya mengetahui gandingan hero ketika penggambaran bermula.
Mengulas kritikan yang tular di media sosial terhadap Firdaus, Fasha menegaskan pelakon baharu itu memiliki bakat dan usaha untuk memberikan yang terbaik selain menepati kehendak skrip drama berkenaan.
“Pada saya, tak wajar untuk persoalkan pemilihan Firdaus.
“Dia berbakat, ada kesungguhan dan sesuai dengan skrip.
“Mungkin ada yang belum menonton atau baharu empat episod ditayangkan, jadi masih belum benar-benar memahami jalan cerita,” jelasnya.
Tambah Fasha, kehadiran wajah baharu dalam industri sememangnya memerlukan masa untuk diterima penonton kerana setiap pelakon mempunyai kelebihan dan bakat tersendiri.

Menurutnya lagi, soal pakej sama ada cantik atau kacak adalah bersifat subjektif, namun bakat tetap menjadi keutamaan dalam dunia lakonan.
“Rupa itu kelebihan, tapi bakat nombor satu.
“Bakat pula boleh diasah. Saya sendiri dulu bermula kosong, banyak bertanya dan belajar daripada pelakon senior,” katanya.
Fasha mengakui bimbingan pelakon senior serta pengarah banyak membantunya berkembang sehingga mampu bertahan dalam industri seni sehingga ke hari ini.
“Dulu sekadar baca skrip, tapi berkat bantuan orang sekeliling, itu yang jadi proses pembelajaran saya,” ujarnya.
Sebelum ini, Fasha tampil mempertahankan Firdaus menerusi Instagram Story miliknya selepas lakonannya mengundang kecaman dan kritikan netizen di media sosial.
Fasha meminta wargamaya tidak membuat komen negatif sebaliknya memberi ruang dan masa untuk Firdaus mengembangkan karakternya dalam drama tersebut.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

