PERNAHKAH anda mendengar tentang berlian yang dikatakan berasal dari angkasa lepas? Pada tahun 1867, seorang budak lelaki iaitu Erasmus Jacobs, 15, dari Afrika Selatan telah menemui batu-batu kecil bercahaya yang cantik berdekatan dengan Orange River, sungai terpanjang di wilayah itu.
Keunikan batu itu dikaji oleh Dr. W. G Atherstone dari Grahamstown, Afrika Selatan. Melihat kandungan mineral dan bentuk batu keras itu, dia mengesahkan ia sebagai batu berlian berwarna kuning kecoklatan seberat 21.25 karat. Batu berharga £1500 itu kemudian dijual kepada Sir Philip Wodehouse dan dipamerkan di Paris Exposition pada tahun 1867.
Batu itu sangat berbeza. Menurut Dr. Atherstone, kewujudan dan rupa bentuknya tidak sama seperti batu berlian yang terbentuk dalam kerak bumi. Kenyataannya itu telah menarik ramai saintis untuk mengkaji batu tersebut.
Sebuah akhbar online pada 20 Disember 2006 memaparkan jurnal Astrophysical Journal Letter yang dihasilkan oleh saintis dari Florida International University, Jozsef Garai dan Stephen Haggerty bersama dengan penyelidik dari Case Western Reserve University, Sandeep Rekhi dan Mark Chance.
Dalam jurnal itu Haggerty menjelaskan, kira-kira 600,000 kilogram berlian biasa yang digali daripada perut bumi di seluruh dunia, tiada satu pun batu serupa seumpamanya ditemui. Justeru, mereka mendakwa jirim unik itu merupakan batu berasal dari luar angkasa lepas dan dikenali sebagai ‘berlian hitam’ atau berlian carbonado.

Jika berlian biasa boleh diperoleh dengan mengorek sedalam 100 meter di bawah perut bumi, carbonado pula sebaliknya. Berlian hitam ini kebanyakannya dikesan di atas permukaan bumi, terutama di kawasan kawah yang terbentuk akibat hentaman daripada asteroid, meteor atau komet.
Disebabkan itu saintis berpendapat berlian hitam sebenarnya berasal dari angkasa lepas. Ia turut digelar sebagai ‘berlian hentaman’ kerana ia didapati terbentuk daripada hentaman asteroid, meteor atau komet. Dikatakan, apabila asteroid jatuh ke permukaan bumi, hentaman itu menghasilkan tenaga yang cukup tinggi.
Saintis telah menguji impak tersebut berdasarkan satu model komputer. Kajian itu mendapati, suhu di udara pada masa itu boleh mencapai empat ribu kali panas, berbanding suhu satu ribu darjah yang membentuk berlian dalam kerak bumi.
Malah diandaikan, jika komet melanggar bumi, tekanannya boleh mencapai satu juta kali tekanan atmosfera bumi. Maka, dipercayai tekanan dan suhu yang tinggi itu boleh menghasilkan karbon dan berlian begitu cepat, iaitu dengan sekali hentaman atau dalam masa sehari, berbanding berjuta tahun pembentukan berlian di bawah kerak bumi.

Bagaimanapun, karbon yang terbentuk itu tidak berlapis-lapis seperti susunan karbon pada berlian biasa. Ia sangat poros, mengandungi banyak hidrogen, 30 peratus udara, logam aloi dan kebanyakan saiznya kecil berukuran kepala jarum peniti.
Berlian hitam adalah lebih kuat dan memerlukan kekuatan 20 tan untuk memecahkannya. Pun begitu, hanya peratus kecil digunakan sebagai perhiasan diri, selebihnya mendapat permintaan tinggi dalam bidang perindustrian.
Menurut penyelidik Geological Survey dari Kanada, Richard A. F Grieve, berlian hitam ini ditemui kali pertama oleh saintis Rusia. Pada ketika itu, mereka sedang mengumpul batuan di atas permukaan kawah di Siberia yang terbentuk akibat hentaman meteor.
Apabila batuan itu dianalisis di bawah lensa mikroskop, mereka terkejut apabila mendapati benda keras itu sebenarnya adalah berlian. Para saintis Rusia telah menyimpan rahsia sulit ini selama lebih kurang 20 tahun. Hanya selepas tamat era perang dingin Amerika – Kesatuan Soviet pada tahun 1991, barulah rahsia tersebut diketahui ramai. Berita itu juga telah menarik minat ramai ahli geologi seluruh dunia untuk mencari berlian hentaman ini.
Dalam pencarian itu, mereka menemui sebanyak 12 kawah terbesar terbentuk di bumi. Saintis juga menemui tiga hingga lima kawah setiap tahun dan dikatakan beratus lagi boleh ditemui, termasuk kawah-kawah yang telah hilang bentuk akibat dihakis oleh air dan angin.
Sekiranya terdapat kesan kawah akibat pelanggaran asteroid dan bumi, maka di situ ada berlian hitam. Hipotesis ini dijadikan tanda aras bagi mengesan kewujudan berlian hitam dan kawah.



_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare