SEBANYAK 336 kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di pusat jagaan telah dilaporkan antara tahun 2021 hingga 2022.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri pada Waktu Pertanyaan Menteri bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Nancy, jumlah 336 kes dera kanak-kanak itu melibatkan pelbagai kategori termasuk di rumah pengasuh; pusat asuhan; taska berdaftar; taska tidak berdaftar dan tadika.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, jumlah penderaan fizikal yang diterima Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) adalah sebanyak 679 serta 622 masing-masing untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan sepanjang tahun lalu.
“Ini tanggungjawab semua masyarakat, saya ingin mengajak semua mengadakan program berunsurkan nilai untuk mewujudkan ekosistem bagi membolehkan semua masyarakat mempunyai kesedaran dan membantu jika berlaku penderaan.
“Kalau ada kes penderaan yang berlaku, hubungi segera talian 15999. Saya nak bagi contoh, banyak kes penderaan berlaku sejak kebelakangan ini dan berterima kasih kepada pegawai kita kerana cepat bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai peratusan kes penderaan selama setahun di negara ini.
Baca artikel berkaitan: Lebih 4,000 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak diselesai
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus menambah baik keperluan dan proses untuk pihak mendaftar dan beroperasi secara sah sebagai taska.
Jelas beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk mewajibkan untuk menjalani latihan dan lulus Kursus Didikan dan Asuhan Permata (KAP).
Nancy berkata, ia bagi memastikan pengasuh yang bertugas mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kanak-kanak di bawah umur empat tahun.
Katanya, kursus selama 28 hari atau 144 jam itu melengkapkan pengasuh bukan sahaja dari segi teori malah dari segi amali.
“Kita telah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis taska bagi memastikan sebarang kejadian tidak diingini berlaku di taska dapat disiasat dengan lebih terperinci.
“Selain itu dengan adanya pemantauan CCTV boleh menjadikan semua pihak menjadi lebih bertanggungjawab menjalankan tugas mereka.
“Pihak kementerian juga mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga untuk menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar kerana operasinya dipantau JKM dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya untuk keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

