Berpuasa tidak harus dijadikan ‘tiket’ untuk anda menjamu selera sepuasnya waktu berbuka. Jika tidak, anda akan berdepan beberapa masalah penghadaman yang lazim termasuk cirit-birit.
Dalam kebanyakan kes, cirit-birit berlaku dan berlarutan dalam tempoh dua hingga tiga hari. Namun ia juga boleh berlaku pada kadar lebih lama dari itu. Cirit-birit yang teruk boleh mengakibatkan dehidrasi (kekeringan akibat kehilangan air) dan sekiranya mengandungi darah ia dikenali sebagai disenteri. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kematian.
Walaupun kebanyakan kes cirit-birit akan pulih dengan sendiri tanpa rawatan tetapi anda boleh mencegahnya dengan panduan di bawah.
Simpton
• Ketidaknormalan kerap berlaku dalam penggerakan usus.
• Kehilangan banyak air dan najis yag tidak dicerna sepenuhnya.
• Terasa kejang di bahagian perut, sakit menyengat di bahagian hulu hati (perasaan libang libu).
• Flatulence (kekembungan perut), kentut berpanjangan (pembuangan gas metana asli daripada usus yang lebih busuk daripada kebiasaan, dan kerap).
• Apabila bahagian abdominal dipicit dan diurut, bunyi air dapat didengari dengan jelas.
• Pembuangan najis cair dan berair berterusan, serta rasa ingin muntah atau mengalamai kemuntahan.
Punca Cirit-Birit
• Minum air minuman yang tidak dimasak sempurna atau ditapis bersih.
• Meminum air tercemar.
• Memakan makanan tidak dibersih dan dimasak dengan betul dan menyeluruh seperti memakan daging dan telur yang mentah atau kurang dimasak.
• Memakan makanan yang dicemari oleh bakteria berbahaya contohnya bakteria, Campylobacter, Salmonella, Shigella, dan Escherichia coli (E. coli).
• Jangkitan virus (kuman). Terdapat pelbagai jenis kuman penyebab diarrhea, termasuklah rotavirus, norovirus, cytomegalovirus, herpes simplex virus, dan viral hepatitis. Jangkitan dengan rotavirus adalah penyebab biasa yang menyebabkan cirit-birit kepada kanak-kanak.
• Parasit. Parasit juga dapat memasuki tubuh daripada makanan atau minuman tercemar dan parasit juga dapat berlindung atau menetap dalam sistem pencernaan manusia. Contoh parasit penyebab diarrhea termasuklah Giardia lamblia, Entamoeba histolytica, dan Cryptosporidium.
• Penyakit usus. Luka atau kesan melecet di antara dinding usus juga dapat menggalakkan jangkitan kuman dan menyebabkan penyakit pada usus, sindrom iritasi usus (IBS), ulcerative colitis, penyakit Crohn’s dan penyakit celiac acap kali menjadi penyebab kepada cirit-birit.
• Ketidaktoleransian dan alahan kepada makanan serta sensitiviti.
• Tindak balas terhadap ubat-ubatan. Antibiotik, ubat antikanser, antacid yang mengandungi magnesium juga boleh menyebabkan diarrhea.
• Kegagalan fungsi sistem usus dan pencernaan.
Langkah Pencegahan
• Cuci tangan sebelum makan.
• Makan makanan semasa masih panas, yang disediakan dan dimasak dengan betul.
• Elakkan daripada makan buah-buahan, sayur-sayuran yang belum dibasuh dan elakkan daripada makan makanan tenusu atau daging mentah. Basuh sayuran dengan bersih atau makan buah-buahan yang telah dikupas.
• Elakkan makan makanan yang anda alah dan ubatan yang menyebabkan cirit-birit.
• Minum air daripada bekalan air bersih, dibotolkan atau air yang telah dimasak. Elakkan minum minuman keras dan berkafein kerana cirit-birit boleh bertambah teruk.
• Pastikan anak anda berada dirumah semasa mengalami jangkitan cirit-birit.