SIAPA yang tidak kenal dengan pelantun lagu viral senusantara Cinta Luar Biasa iaitu Andmesh Kamaleng yang masih sohor kini hingga ke negara ini.

Anak kelahiran Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur, Indonesia itu bakal mengubat kerinduan peminat Malaysia sselepas penyanyi berusia 25 tahun itu mengesahkan kehadirannya ke negara ini bagi menjayakan konsert sulungnya di negara ini pada 4 Jun depan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

“Tidak sabar rasanya hendak menghiburkan peminat di Malaysia pada bulan Jun ini dalam sebuah konsert istimewa yang bertemakan cinta.

“Ini merupakan konsert pertama saya di Malaysia dan sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di sana,” jelas pemilik nama sebenar Jeandmesh Antonio Kamaleng itu.

Berasal dari sebuah keluarga pemuzik, Andmesh mewarisi bakat semulajadinya daripada mendiang bapanya yang merupakan seorang pemain keyboard profesional.

“Sewaktu kecil, saya sering mengikuti ayah membuat persembahan di pentas dan minat dalam bidang muzik lahir secara semulajadi dari situ.

“Kemudian, pada 2016 saya beranikan diri menyertai sebuah program pencarian bakat di Indonesia iaitu Rising Star Indonesia Musim kedua dan rezeki ternyata berpihak pada saya apabila dinobatkan sebagai juara,” jelas Andmesh.

Lagu Cinta Luar Biasa yang diambil dari album pertamanya dengan judul yang sama berjaya melonjakkan lagi namannya sehingga dikenali ramai di rantau Asia Tenggara, bukan itu sahaja lagu tersebut mendapat perhatian global apabila turut dinyanyikan semula dalam pelbagai bahasa, antaranya bahasa Inggeris dan juga bahasa Korea.

Kini, Andmesh dan pemuzik dari Indonesia bakal hadir di Malaysia dalam sebuah konsert yang ditunggu-tunggu peminatnya di sini, kata Andmesh dalam nada yang teruja, “Sesungguhnya ini merupakan impian saya dari dahulu lagi untuk menghiburkan peminat di Malaysia, saya sudah persiapkan ‘team’ yang rapi agar semuanya berjalan dengan lancar.

“Seramai enam orang pemuzik profesional dari Indonesia bakal mengiringi saya ketika konsert itu nanti yang dijangkakan berlangsung selama dua jam dengan kurang lebih 15 buah lagu yang dipersembahkan.

“Konsep konsertnya nanti bertemakan cinta, saya mahu kesemua penonton konsert yang hadir merasakan ‘cinta’ melalui muzik, lirik dan nada yang saya bawakan,” kongsinya lebih lanjut.

Setakat ini, segala persiapan menuju konsert sedang dijalankan dan ‘team’ Andmesh memastikan  setiap pengunjung konsert merasai pengalaman yang maksimal.

“Istimewanya pada konsert itu nanti, susunan muziknya juga akan mengalami perubahan, khas untuk peminat-peminat di Malaysia, jadi rugi bagi siapa tidak menghadirkan diri. Pastinya ada juga kejutan yang dipersembahkan nanti dan kalau hendak tahu kenalah beli tiket konsert nanti.

“Saya berharap agar pengunjung konsert terkesan dengan lagu-lagu yang saya persembahkan, merasakan cinta dengan karya-karya saya, dan pulang ke rumah dengan memori yang indah.

“Jangan lupa dengan janji kita pada 4 Jun ini, salam sayang daripada Andmesh Kamaleng,” akhiri Andmesh. 

Tiket-tiket bakal dijual bermula 30 Mac ini pada jam 2 pm di andmesh.ubertickets.asia