Ingatkah anda watak Barkoba lakonan Bell Ngasri. Setiap kali bulan Ramadan, watak Barkoba dan geng plastik hitam yang lucu tidak berpuasa muncul dengan pelbagai tipu helahnya. Melihat lakonan mantap dari Bell Ngasri ini pastinya membuatkan kita berasa gelihati dan tertawa.
Ya betul, memang kelakar. Ada sahaja aksinya menipu bagi membolehkan dia tidak berpuasa. Namun tahukah anda balasan orang seperti Barkoba dan geng plastik hitam yang meninggalkan puasa tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak? Menurut jumhur ulama perbuatan sengaja tidak berpuasa adalah sangat berat dan berdosa besar.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. menyebutkan,
“Barangsiapa membatalkan puasa satu hari dari bulan Ramadan tanpa alasan dan juga bukan kerana sakit, maka dia tidak dapat menggantikannya dengan puasa dahr (terus-menerus) meskipun dia berupaya melakukannya….” (HR Bukhari)
Malah dalam hadis yang lain juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
“Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qada (ganti) puasa tersebut walaupun selamanya” (HR Abu Daud, Ibn Majah & at-Tarmizi
Abdullah bin Mas’ud r.a. juga menyatakan,
“Barangsiapa yang tidak berpuasa satu hari dari bulan Ramadan tanpa alasan, maka tidak dibolehkan baginya mengerjakan puasa dahr sehingga dia menemui Allah. Jika Allah berkehendak, Dia akan memberikan ampunan kepadanya dan jika Allah berkehendak, Dia akan mengazabnya” (Fathul Baari IV/161)
Imam al-Zahabi secara tegas mengatakan bahawa di sisi semua orang Islam telah mengakui dan mengiakan bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran sebenarnya orang tersebut lebih jahat dari penzina dan peminum arak. Bahkan mereka mengesyaki keislaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan kafir zindiq dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.
Lihatlah betapa buruknya pandangan Islam terhadap orang yang sengaja tidak berpuasa. Malah dalam al-Fiqh al-Mahaji menyebutkan puasa Ramadan adalah salah satu dari rukun Islam dan perkara fardu dalam agama yang mesti diketahui.
Oleh itu sesiapa yang mengingkari kewajipannya, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam atau tidak tinggal berjauhan daripada ulama. Malah mereka yang tidak berpuasa juga dianggap fasiq. Wallahu a’lam
______________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

