SEORANG remaja maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Jalan Kampung Galang, Pulai Chondong, semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, dalam kejadian pukul 6.30 petang, pemandu Perodua Axia berusia 29 tahun dari Kok Lanas dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Galang, Machang.
Katanya, sampai di Jalan Kampung Galang, pemandu memberi isyarat ke kanan dan berhenti di tengah jalan sebelum membelok masuk.
“Semasa berada di lorong tersebut, pemandu Axia berhenti seketika untuk memberi laluan kepada sebuah kenderaan pelbagai guna yang hendak keluar dari lorong tersebut.
“Tiba-tiba sebuah motosikal yang dinaiki dua remaja berusia 15 tahun yang tidak bertopi keledar melanggar belakang Axia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng tercampak ke laluan bertentangan sebelum pembonceng kena tayar belakang sebuah bas yang berada di belakang Axia.
“Pembonceng yang dikenali sebagai Rafqi Danish Arman Rosmaidi, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Sementara penunggang motosikal cedera ringan di tangan dan menerima rawatan di Hospital Machang.
“Semakan mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu,” ujarnya.
Mohd Adli berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Axia yang gagal memastikan keadaan selamat sebelum masuk ke simpang lorong kanan.
“Pemandu Axia ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

