
MPM mengikuti iklim perubahan pembangunan global dan sejauh mana iklim itu menpengaruhi iklim atau pola pembangunan negara dan bangsa.
Sejak hampir dua dekad yang lepas, beberapa institusi Barat sepakat menukar kiblat pembangunan, dari model berpaksikan pertumbuhan (growth) yang kurang mengutamakan pembangunan insan rabbani, kepada paksi baharu bercorakkan kemakmuran, atau ada yang menjenamakannya sebagai beyond growth.
Kami setuju dengan anjakan paradigma ini. Malangnya, bangsa maha agung ini, bangsa mahawangsa, lambat untuk beranjak. Sebabnya, mereka telah terlalu lama diasuh untuk selesa mengikut telunjuk dan menagu nasib kepada pemimpinnya.
Model pembangunan berpaksikan kemakmuran (prosperity) adalah model pembangunan yang inklusif, ambil kira secara kolektif dan bersepadu, sumbangan atau peranan yang dimainkan oleh semua tunggak kemakmuran, secara saksama.
Selain kepimpinan dan lapan lagi tonggak utama kemakmuran, tonggak berkaitan pembangunan dan hak asasi insan adalah sama pentingnya dalam mencorakkan agenda pembangunan, negara mahupun bangsa.
Jika dirujuk kepada model kemakmuran anjuran Legatum Institute of Prosperity, London, dan diselaraskan pula dengan Indeks Syariah 2016 tajaan JAKIM, yang lebih Islamik dan sesuai dengan peradaban bangsa mahawangsa ini, kebergantungan kemakmuran bangsa tidak lagi perlu taksub kepada kehendak pemimpin semata-mata.
Lagi pun, tanpa mereka sedari, kepimpinan bangsa ini telah sekian lama bercirikan ibarat ombak di laut. Bangsa ini pula ibarat pasir di pesisiran pantai, reda membiarkan diri mereka dibadai ombak.
Sejak kebelakangan ini pergolakan kepimpinan bangsa ini ibarat kata pepatah, “sekali ombak memukul pantai, sekali itu pasir berubah”.
Jika dulu pukulan ombak itu ibarat irama klasik, kini ia membadai tanpa irama dan pukulannya amat menyakitkan. Contohnya, tergamak pemimpinnya sendiri melabelkan bangsanya pemalas, hanya kerana tahap daya saingnya pada saat dan ketika ini tidak sehebat beberapa suku kaum lain.
Ada pula pemimpin yang diagung- agungkan, melabelkan bangsanya sendiri sebagai selesa dan angkuh. Jika pun ya, sebagai golongan pemimpin yang mempamerkan perwatakan Islamik, sepatutnya lebih berhemah dalam menegur bangsanya di khalayak umum.
Pukulan deras dalam kalangan pemimpinnya itu ibarat ombak merobohkan semua istana pasir yang dibina. Bangsanya kini kembali merintih mencari tempat mengadu yang sememangnya tiada.
Dengan perubahan iklim kepimpinan bangsa ini, dipengaruhi pula ribut geopolitik global yang semakin ganas, bangsa ini tiada pilihan, kecuali kembali ke budaya asalnya, iaitu budaya gotong-royong pesaka peninggalan nenek moyang mereka, yang membina jati diri kental.
Baca artikel berkaitan: Selamat datang 2023: agenda Bumiputera kembali miskin dan tercicir?
Dalam konteks pembangunan semasa jargon yang lebih kontemporari menjenamakan budaya ini sebagai budaya swatadbirurus diri (self governance culture). Apa pun jenama yang nak digunakan, sudah sampai masanya bangsa ini memperkasakan semula budaya ini. Budaya swatadbirurus diri membawa maksud bahawa agenda pembangunan insan rabbani, atau dalam konteks Barat mereka berjuang atas nama hak asasi manusia, setiap insan itu lebih wajib dan berhak mentadbirurus dirinya dalam menentukan agenda kemakmurannya, mengikut acuan agenda kemakmuran bangsanya.
Dalam konteks Indeks Syariah 2016 tajaan JAKIM, tunggak kemakmuran ini konsisten dengan lima elemen dalam maqasid syariah, iaitu ad-deen, kehidupan, akal, zuriat dan harta.
Iklim perubahan ini juga jika diperhalusi, konsisten dengan Davos Manifesto 1971 yang diperbaharui sebagai Davos Manifesto 2021, dengan hak asasi pemegang taruh adalah jauh lebih utama dari hak asasi institusi yang sekian lama dimonopoli dan dikuasai puak kapitalis kolonial.
Saya akan menyambung hujah mengenai agenda kemakmuran bangsa ini dalam rencana seterusnya dengan mengajak setiap butir pasir di pesisiran pantai dalam kalangan anak bangsa mahawangsa ini, untuk bangkit memperkasakan semula budaya waris nenek moyang kita dulu, iaitu budaya swatadbirurus diri yang kental.
Budaya inilah yang telah menjulang ramai dalam kalangan nenek moyang kita dulu bebas daripada cengkaman kepimpinan feudalisme, yang mampu melayarkan mereka menjadi jaguh global, di era mereka.
Di era kita masa ini, kita sendiri wajib berani menentukan destinasi anak bangsa. Kita tidak perlu apologetik sebab kita tak cuit pun hak asasi lain-lain kaum. Malah kita hormati dan sanjungi mereka.
Penulis adalah Setiausaha Agung MPM.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

