Cerita RM16 juta, rakyat Malaysia kaya, harga Rahmah dan baju raya RM24,000. Ini kisah Rizman Ruzaini

Dari Penulis

Pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini percaya sasaran dan produk yang tepat antara faktor yang menyumbang kejayaan jenama itu untuk terus kekal relevan dan bertahan di saat keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kesempatan pertemuan Wanita dengan duo popular ini menyingkap banyak kisah menarik untuk dikongsikan antaranya kisah jualan RM16 juta, kekayaan rakyat Malaysia dan fesyen pelik yang diperagakan tika Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Rizman Ruzaini, Rizman Nordin turut menjelaskan strategi perniagaan yang betul membuka mata mereka bagaimana mengembangkan lagi perniagaan dalam perspektif berbeza.

“Bayangkan rakyat Malaysia ada 32 juta dan orang yang bergaji antara RM1,500 hingga RM8,000 ada 8 juta. Dari situ, kami hanya target satu persen dan inilah pelanggan berpotensi kami.

“Setiap individu akan berbelanja untuk diri sendiri sekurang-kurangnya RM200 hingga RM300 sebulan dan kami mahu semua bajet itu mengalir kepada Rizman Ruzaini. Bayangkan 80,000 orang berbelanja RM200 sebulan di Rizman Ruzaini dan sebulan kami boleh peroleh RM16 juta. Itu cara pengiraannya.

“Dan terutamanya kaum wanita, selalunya mereka akan reward diri dengan minyak wangi, beg tangan dan tudung. Sebab itu semua ada di Rizman Ruzaini. Target market kami sangat jelas dan 80 peratus daripada pelanggan kami ialah pekerja kerajaan,” katanya.

Meski sentiasa bermain dengan alunan perubahan fesyen semasa, namun duo fesyen ini turut menyentuh soal prinsip yang dipegang sebagai keturunan Melayu. Aspek bertanggungjawab dalam memelihara busana tradisional supaya terus kekal dengan kesopanan dan keselesaan sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita kena tahu juga asal usul, apa yang diperjuangkan nenek moyang kerana mereka membawa kesopanan dan keselesaan menerusi imej baju kurung dan baju Melayu seperti baju kurung Pahang, baju kurung Kedah. Jadi bagi kami, sebaiknya kita kekalkan dan buat sedikit penambahbaikan tanpa mengubah keasliannya.

“Kami sebagai pereka fesyen ini yang seharusnya menjaga warisan budaya baju Melayu kerana jika semakin lama semakin berubah, orang akan lupa bagaimana rupa asal baju kita. Dan selalunya kami akan melihat kembali baju-baju lama mak dan nenek kami kerana rekaan begitu lebih rapat dengan kita jika dibandingkan dengan baju yang terlalu berfesyen yang mengikut budaya Barat,” tambahnya lagi.

Tidak terkecuali dipersoal isu Kempen Jualan Rahmah, ulas Rizman, segmentasi Rizman Ruzaini terdiri daripada beberapa lapisan dan RR merupakan koleksi penghargaan kepada pembeli dengan harga yang berbaloi dengan kualiti.

“Jenama kami punya dua segmentasi iaitu Rizman Ruzaini dan RR. Di Rizman Ruzaini memang ada baju yang berharga sehingga RM8,000. Masyarakat Malaysia ni sebenarnya ramai yang kaya, malah ada baju raya yang berharga RM24,000. Namun pandemik ini membuka mata kami kerana rakyat Malaysia yang membantu kami untuk terus bertahan. Waktu itu majlis perkahwinan tiada dan tiada orang yang membuat tempahan dengan kami selama dua tahun.

“Namun rakyat Malaysia sangat memberi sokongan waktu kami keluarkan baju t-shirt dan pelitup muka. Sebab itu kami wujudkan jenama RR sebagai tanda penghargaan sewaktu kami susah dahulu. Produk kami bermula dengan harga RM59 sahaja untuk tudung dan baju raya RM299. Walaupun harga Rahmah namun kualitinya tetap terjamin.

“Walaupun baju dijual mahal namun market tetap ada. Ia bukan isu kerana ada pembeli. Dan untuk RR Luxe, kami tak menjual dalam kuantiti yang banyak kerana individu yang membeli baju harga ribuan ringgit, tentulah mereka tak mahu muncul sama dengan ramai orang. Rakyat Malaysia harus tahu di mana segmentasi mereka dan tahu di mana untuk membeli baju yang sesuai. Dan peminat koleksi Rizman Ruzaini juga punya banyak lapisan, ada T20, M40 dan B40.

“Dan secara peribadi, kami lebih suka koleksi RR kerana ia lebih relatable kerana sesuai dipakai di mana-mana jika di bandingkan dengan RR Luxe kerana ia terlalu fashionable,” tambahnya lagi.

Mengakui bad marketing sebagai sebahagian daripada penjenamaan, namun tegas Rizman, mereka lebih selesa mengelak daripada perkara negatif kerana percaya akan doa yang baik dari orang ramai.

“Bagi saya ia bersifat individu, mungkin ia cara nak pasarkan jenama mereka. Macam kami dulu ada juga beberapa baju yang tular contohnya waktu awal-awal pembabitan dalam dunia fesyen. Kami buat baju Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kena kutuk, tiga bulan duduk rumah kerana malu.

“Bagi kami, viral is still a viral thing. Sama ada bad or good marketing, ia masih sebahagian daripada marketing. Namun bagi saya dan Ruzaini, kami memang tidak sukakan perkara yang negatif kerana saya percaya pada perkara yang baik, orang akan doakan kejayaan kita,” ulasnya lagi.

Menambah koleksi RR kepada 75,000 pasang, jelas Ruzaini, kejayaan tahun lalu membuka peluang dan ruang untuk menggandakan lagi jualan baju raya pada tahun ini.

“Saya sangat terharu melihat sambutan yang diterima. Bayangkan tahun lepas, minggu pertama Ramadan semua baju raya sold out, mungkin juga sebab tahun lepas kami hanya sediakan 7000 pasang baju raya sahaja. Dan sebab itu kami menambah koleksi baju raya kepada 75,000 pasang tahun ini.

“Pada mulanya saya agak ragu-ragu apabila Rizman kemukakan cadangan untuk tambah koleksi baju raya. Namun disebabkan Central i-City, Shah Alam memberi peluang membuka RR Pop Up Booth di sini, ia membuka jalan kepada pembukaan pop-up booth di Fahrenheit88, Kuala Lumpur dan Komtar JBCC, Johor Bahru dan ia sesuai dengan kuantiti yang kami bawa,” ulas Ruzaini kepada media.

Menyentuh soal kolaborasi bersama Central I-City, Shah Alam, jelas Rizman, ini merupakan tahun ketiga kerjasama terjalin antara kedua-dua pihak.

“Ini merupakan kolaborasi antara Rizman Ruzaini bersama Central I-City, Shah Alam dan saya sifatkan ia sebagai kerjasama yang jitu dan umpama sebuah keluarga. Alhamdulillah selama 17 tahun jenama kami bertapak dalam industri dan ramai syarikat besar sudah mula nampak kami. Mungkin mereka nampak kami boleh menarik pelanggan datang,” kata Rizman.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bokitta Alamanda berwajah baharu, berkonsepkan ‘Premium Lifestyle’

BOKITTA, jenama tudung Muslimah premium sememangnya terkenal dengan rekaannya yang moden dengan ciri eksklusif yang bebas pin, selesa dan...

More Articles Like This