PENYANYI Aina Abdul menafikan spekulasi yang mengatakan dia menyingkirkan bekas pengurusnya yang telah menguruskan kerjayanya sejak 2019.
Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-36 ini juga menjelaskan tentang keadaan sebenar yang berlaku antara dirinya dan bekas pengurus.
“Saya tidak sama sekali singkir sesiapa. Sesiapa yang keluar dari hidup saya, itu adalah keputusan dia sendiri.
“Saya tak berani nak beri penyataan apa-apa tentang ini dan ia berlaku dengan sangat cepat.
“Saya tak mahu sakitkan hati sesiapa, apatah lagi ibu bapanya yang turut meminati saya sebagai penyanyi dan kami sudah lama kenal.
“Jadi, untuk jawapan yang lebih tepat, boleh tanya dengan pihak belah sana. Isu yang terjadi ini merupakan masalah dalaman, biarlah antara saya dan dia sahaja yang tahu,” jelasnya kepada URTV.
Pelantun lagu Terus Hidup itu juga tidak menyimpan dendam sebaliknya dia optimis dengan apa yang terjadi.
“Saya tak mahu orang minta maaf kepada saya dan tidak mahu sebarang isu timbul tentang bermaaf-maafan.
“Kalau jumpa di mana-mana majlis, kita masih boleh berborak dan saya bukan jenis orang yang akan bermasam muka terhadap orang lain.
“Semestinya saya berasa sedih dengan ketiadaan dia (bekas pengurus), tapi saya percaya dengan rezeki Tuhan, bukan rezeki saya untuk dia bekerja lama dengan saya,” katanya.
Aina ditemui URTV pada majlis pengumuman peserta Big Stage Musim kelima (BS5) yang berlangsung di Petaling Jaya, semalam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peranannya sebagai juri B5, Aina berjanji akan memberikan yang terbaik untuk peserta-peserta yang digelar sebagai adik-adiknya.
“Saya akan menjadi juri yang ‘transparent’ iaitu jujur, tegas dan saya akan elak untuk menjadi garang sebab saya tak mahu dibenci netizen.
“Saya juga banyak belajar cara beri komen dari program dalam Malaysia dan luar negara.
“Pada musim sebelum ini, saya menjadi juri jemputan sahaja tetapi kali ini saya adalah sebagai juri tetap maka saya akan mengajar secara terperinci.
“Mana yang saya boleh tunjuk, saya tunjuk dan mana yang saya boleh cakap, saya akan cakap sahaja. Saya akan berikan pengajaran dalam ‘term’ yang peserta dan netizen senang faham.
“Saya akan buktikan kepada semua yang saya layak berada di sini walaupun saya rasa saya masih baru atas pencapaian saya,” tuturnya.
BS5 akan mula bersiaran pada 7 Mei ini di Astro Ria.

