PROFESOR wanita Melayu pertama, Puan Sri Prof Dr Fatimah Hamid Don dilaporkan meninggal dunia, awal pagi tadi.
Fatimah, 89, yang sedang dalam fasa pemulihan akibat penyakit strok sejak tahun lalu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.35 pagi di Hospital KPJ Tawakal.
Jenazah balu kepada Allahyarham Tan Sri Ishak Pateh itu dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14 Petaling Jaya untuk dimandi dan dikafankan pada 10 pagi tadi.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya selepas solat Zohor.
Sementara itu, cucunya Dr Dima Marlina Mohd Rafi menerusi hantaran di Facebooknya berkata pemergian Allahyarham bukan sahaja sebagai seorang ibu dan nenek, tetapi juga sebagai tokoh pendidikan negara dan pemerkasaan wanita.
Fatimah Hamid Don yang berasal dari Batu Gajah, Perak memperoleh Ijazah Kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) dari Universiti California, Amerika Syarikat pada 1971.
Baca artikel berkaitan: Adik Nik Aziz iaitu Nik Razi meninggal dunia pagi tadi
Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan dinaikkan pangkat kepada Prof Madya pada 1974.
Beliau dilantik menjadi Dekan Fakulti Pendidikan pada 1975 sebelum bersara sebagai Profesor pada 1990.
Antara pencapaian Allahyarham ialah menjadi wanita Melayu pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan di Universiti California, Amerika Syarikat dan dianugerahkan Pingat Fatimah sempena Hari Wanita pada 1988.
Di peringkat antarabangsa pula, beliau diberi pengiktirafan Pi Lambda Theta (daripada Alpha Delta, University of California, Los Angeles, 1971), Citizen of the Age of Enlightenment Award (World government of the Age of Enlightenment-Maharishi European Research University, 1976), Honorary Fellowship of the International Understanding Honor Society, Ohio University, Athens (1985) dan menjadi ahli seumur hidup International Council on Education for Teaching, Washington DC, Amerika Syarikat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

