PENYANYI, Haqiem Rusli atau Ridzuan Haqiem Rusli meluahkan rasa duka melalui media sosialnya dengan menulis ayat yang menyedihkan seolah memberi bayangan dia sedang berdepan dengan ujian berat dalam hidupnya.
Menerusi TikTok, Haqiem turut berkongsi beberapa baris lirik lagu nyany menulis tentang dirinya yang mempunyai perasaan dan hati dan jangan sakitinya lagi dan berlatar belakangkan lagu ciptaanya berjudul Aku Hati dan Perasaan yang seakan sama dengan situasi yang sedang dihadapinya ketika ini.
Malah, dia juga turut meletakkan emoji sedih di ruangan kapsyen.
“Aku punya perasaan dan hati. Jangan pernah sakitkan. Aku tidak mahu nangis lagi,” tulisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Haqiem Rusli tampil berselendang, padam semua gambar bertudung di Instagram. Netizen tanya imej baru ke?
Sementara itu, dalam hantaran di Instagram, penyanyi berusia 26 tahun itu menulis tentang semua orang akan memalui sebuah ujian dan memohon semua memahami keadaannya.
Hantaran itu berlatar belakangkan lagu Trying My Best nyanyian Anson Seabra di Insta Story miliknya.
“Semua orang akan lalui suatu perkara dalam kehidupan. Saya akan sentiasa menerimanya dan mengharapkan awak faham kerana saya tak akan berhenti mencuba dan putus asa,” tulisnya.

Hantaran tersebut mendapat perhatian netizen yang mana menimbulkan kerisauan dalam kalangan peminat.
Menjengah ke ruangan komen, netizen meminta untuk penyanyi lagu berjudul Tergantung Sepi itu merehatkan diri dari media sosial.
“Sabar ya. Doa banyak-banyak. Moga semuanya baik-baik saja untuk kamu berdua. Bincang baik-baik dengan Sofea. Jangan kemaskini apa-apa.
“Saya rasa Haqiem boleh rehat dari media sosial untuk sementara waktu. Bukan untuk sesiapa tapi untuk awak dan kesihatan mental awak.
“Harap Haqiem tabah. Lepas ni banyak buat lagu-lagu bahagia dan mesej-mesej yang baik. Sebab apa yang kita sebut tu selalu jadi doa. Buat dan nyanyi lirik-lirik yang positif.
“Semoga Allah beri kamu kekuatan untuk apa yang kamu perlu lalui ini, kami di sini sentiasa mendoakan kamu,” komen netizen.
Terdahulu, pada 22 April lalu, isteri Haqiem iaitu Anis Sofea, memadam foto mereka di Instagram.
Lebih mencetuskan kehangatan apabila Anis turut memuat naik gambar penampilannya yang hanya berselendang dan menampakkan anak rambutnya ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Tambahan pula, sebelum ini Anis juga ada memuat naik fotonya yang tidak memakai tudung dan menimbulkan tanda tanya daripada pelbagai pihak.
Netizen mula mengesyaki jika hubungan rumah tangga mereka sedang berdepan masalah sehingga membuatkan Anis bertindak untuk memadam gambar-gambarnya bersama Haqiem di media sosial.
Namun, seakan sedar warganet sedang memperkatakan tentang status hubungan mereka, Anis bagaimanapun lantas berkongsi gambar terbaharunya bersama Haqiem.
Haqiem juga dilihat lebih selesa untuk terus mengunci mulut dan enggan memberikan sebarang komen mengenai tindakan isterinya yang tidak lagi berhijab dan isu mengenai status perkahwinan mereka yang dikatakan sedang bergolak.
Untuk rekod, Haqiem dan Sofea berkahwin pada 19 November 2021 di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya dan masih belum dikurniakan anak.

