SELEBRITI senior atau veteran di anggap memiliki tarikan dan keupayaan untuk menjadi duta sesuatu produk sekaligus mampu melariskan perniagaan.
Lebih daripada itu, golongan berkenaan juga mempunyai pengikut dan peminat yang setia serta menyokong aktiviti yang membabitkan mereka.
Perkara itu dikongsikan oleh Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa mengulas mengenai keputusannya yang memilih pelakon veteran Kamarool Yusoff atau lebih popular dengan nama Cik Man selaku salah seorang daripada duta produk wangiannya.
Tindakannya itu berbeza dengan pihak lain yang lebih berminat mengambil selebriti muda, popular serta mereka dalam kalangan BBNU sebagai duta produk.
“Cik Man memberikan komitmen yang sangat bagus terutama dalam membuat kandungan yang menarik serta mampu menarik perhatian semua peringkat umur.
“Lebih menarik kanak-kanak seawal usia tiga tahun juga mengenali Cik Man dan kami menerima makluman sangat positif daripada pelanggan kami,” katanya ketika ditemui pada karnival Bossku Mega Expo 2024 yang diwangikan oleh Yaya Empire.
Nadia yang juga mesra disapa Kak Ya berkata, Cik Man yang mempunyai peminat dalam kalangan pelbagai peringkat usia juga mampu menterjemahkan sokongan menerusi pembelian produk oleh syarikatnya.
Katanya, sudah lima tahun memilih Cik Man sebagai duta produk di samping selebriti lain seperti pelakon, penyampai radio dan pelawak, Issey Fazlisham serta pempengaruh media sosial, Mia Azhar.
“Cik Man juga tidak berkira soal bayaran malah bersetuju kerana mahu membantu usahawan tempatan terutamanya yang berasal dari Kelantan,” katanya.
Baginya, selain untuk mempromosikan produk, duta juga membantu membawa imej sesebuah jenama dalam menarik minat serta perhatian pembeli.
Sementara itu, Cik Man 67, yang dikenali menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan.
“Saya sendiri terima dengan hati terbuka bila Yaya Empire tawarkan untuk jadi duta sejak lima tahun lalu dan saya tertarik kerana ia diusahakan oleh anak muda berasal dari negeri kelahiran saya iaitu Kelantan.
“Tidak kisah kita popular atau tidak, tua mahupun muda kalau kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan pasti akan nampak hasil.
“Bagi saya bila orang percaya kita berikan yang terbaik dan saya juga beruntung kerana masih ada peminat yang terus sokongan saya,” ulasnya yang sudah berlakon dalam lebih dari 50 buah filem.
Cik Man yang popular dengan tagline “Semua Masuk Syurga” itu juga bersyukur serta terharu kerana sentiasa disapa peminat setiap kali kemunculannya.
Pada karnival itu, Yaya Empire menjadi penaja dalam acara jualan membabitkan usahawan tempatan serta menganjurkan konsert percuma yang menarik lebih 10,000 penduduk tempatan di Pantai Sri Tujuh Tumpat pada Jumaat lepas.
Selain persembahan dikir barat oleh kumpulan Sri Budi Jati serta penyanyi dikir tempatan, Datuk Jamal Abdillah dan Haqiem Rusli turut menghiburkan penonton.


Lebih menarik Jamal turut menyampaikan lagu popularnya Sendiri dalam versi dikir barat bersama Ezeri Layang Putih yang digelar Datuk Jamal versi Kelantan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

