Haqiem Rusli raih Anugerah Emas RIM, Mimpi bukti kejayaan berterusan

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PENYANYI, Haqiem Rusli terus mengukir pencapaian membanggakan apabila single hitnya, Mimpi, menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan komersial lagu tersebut di platform digital.

Lagu yang dilancarkan pada 2020 itu berjaya mencatat pendapatan melebihi RM100,000 hasil penstriman audio dan video, sekali gus melayakkan karya berkenaan menerima pensijilan berprestij daripada Recording Industry Malaysia (RIM).

Majlis penyampaian sijil pengiktirafan tersebut telah berlangsung di Ibu Pejabat RIM, Solaris Mont’ Kiara, dengan jumlah pendapatan lagu berkenaan diaudit sepenuhnya oleh RIM berdasarkan angka sah melibatkan muat turun serta penstriman digital di pelbagai platform. 

Penganugerahan itu secara tidak langsung membuktikan daya tarikan berterusan muzik tempatan dalam kalangan peminat di Malaysia dan juga rantau ini.

Mimpi merupakan hasil ciptaan bersama Haqiem Rusli dan penerbit drama terkenal, Datuk A. Aida, serta diterbitkan oleh FMC Music. 

Single ini dilancarkan secara digital pada 15 Disember 2020, manakala video muzik rasminya pula dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021.

Sejurus selepas pelancarannya, lagu tersebut mencetuskan fenomena tersendiri apabila pantas menduduki carta trending YouTube, malah berjaya meraih hampir satu juta tontonan dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, pihaknya sentiasa berbesar hati untuk mengiktiraf kejayaan artis dan syarikat rakaman tempatan yang mencapai kejayaan komersial membanggakan.

“Pensijilan yang diberikan kepada Mimpi membuktikan penerimaan dan sokongan kukuh terhadap rakaman muzik tempatan, bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, malah peminat muzik di luar negara. 

“RIM mengucapkan tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas kreativiti serta dedikasi mereka,” katanya.

Haqiem turut meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas pengiktirafan yang diterima.

“Saya berasa amat terhormat menerima pengiktirafan ini daripada RIM. 

“Mimpi adalah lagu yang sangat istimewa buat saya dan saya amat bersyukur atas sokongan FMC Music, pasukan saya serta semua yang mendengar dan menyokong lagu ini,” ujarnya.

Sementara itu, wakil pegawai perhubugnan awam FMC Music turut menyifatkan anugerah berkenaan sebagai satu pengiktirafan bermakna terhadap usaha dan dedikasi pasukan produksi.

“Mimpi lahir daripada jiwa dan komitmen Haqiem bersama seluruh pasukan. 

“Anugerah ini menjadi bukti bahawa setiap lirik dan melodi yang dihasilkan berjaya menyentuh hati pendengar,” tuturnya.

Untuk rekod, Sijil Pengiktirafan Anugerah Jualan RIM merupakan antara pengiktirafan paling dihormati dalam industri muzik tempatan. 

Antara penerima terdahulu termasuklah Fazura menerusi album sulungnya yang menerima pensijilan Platinum/Emas pada 2017, MOJO dengan single Andaiku Bercinta Lagi yang meraih lima kali Platinum pada 2013, serta Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mencatat pelbagai pensijilan Platinum sepanjang era 2000-an.

Kejayaan Mimpi sekali lagi membuktikan posisi Haqiem sebagai antara penyanyi lelaki paling konsisten dan berpengaruh dalam industri muzik tanah air.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This