
MARA sedia memberi pinjaman dan latihan kepada doktor kontrak membuka klinik sendiri bagi membantu mereka yang gagal diserap ke dalam perkhidmatan tetap. Memetik Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Mara sebelum ini banyak membantu doktor dan ahli farmasi menjadi usahawan.
Bukan bermaksud memperkecilkan niat Mara, tetapi adakah itu jalan penyelesaian terbaik? Begitu mudahkah isu ribuan doktor yang tidak diserap diselesaikan dengan hanya menggalakkan mereka membuka klinik sendiri? Ada ribuan lulusan perubatan setiap tahun. Semua hendak buka klinik sendiri?
Membuka sebuah klinik tidak semudah membuka gerai makan atau warung kopi. Seperti ditegaskan oleh Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Boi Saidi Abdul Razak, kosnya adalah tinggi. Ini termasuk sewa bangunan, ubah suai serta kos operasi.
Beliau bimbang langkah tersebut boleh membawa padah kepada doktor yang ghairah mengambil pinjaman untuk membuka klinik. Jika klinik yang diusaha maju dan berjaya, mungkin doktor tersebut tidak menghadapi masalah membayar balik pinjaman.
Tetapi bagaimana jika klinik tidak mendapat sambutan kerana bersaing dengan klinik sedia ada, atau berada di lokasi yang tidak strategik? Besar kemungkinan klinik akhirnya terpaksa ditutup. Namun pinjaman tetap perlu dibereskan.
Di mana hendak memperoleh sumber kewangan untuk melunas pinjaman? Akhirnya harapan menjadi usahawan bertukar menjadi perangkap muflis kepada doktor terlibat. Diri sendiri yang terpaksa menanggung derita.
Ini bukan isu ringan. Bukan juga cuba menakut-nakutkan doktor yang ingin membuka klinik sendiri. Tetapi menurut Dr Boi Saidi, lebih 300 klinik swasta terpaksa ditutup kerana kerugian. Jika silap langkah, padah sama akan ditanggung oleh doktor yang membuka klinik baharu.
Menurut beliau, sehingga kini terdapat 800 klinik swasta berdaftar di negara ini. Jumlah yang begini banyak sudah tentu mewujudkan persaingan perniagaan yang sengit.
Malah jika diperhatikan, di sesuah kawasan tertentu, khususnya di kawasan bandar atau separa bandar, terdapat banyak klinik di lokaliti yang sama. Kewujudan mereka untuk memberi khidmat kepada penduduk setempat. Setiap klinik akan berusaha menarik pesakit.
Tetapi jika sudah terlalu banyak klinik di sesuatu lokasi, maka nisbah pesakit yang datang ke satu-satu klinik tentu rendah. Penduduk punyai pilihan ke klinik mana hendak pergi. Ini berlainan dengan jika hanya ada satu klinik, pasti ia menjadi tumpuan semua orang.
Ini belum mengambil kira hakikat ramai pesakit lebih suka pergi ke hospital atau klinik kesihatan kerajaan untuk mendapatkan rawatan. Klinik kerajaan, terutama yang besar, mempunyai kelengkapan rawatan dan perubatan yang baik.
Selain rawatan pesakit luar, klinik dilengkapi dengan klinik pergigian, klinik ibu mengandung, kemudahan X-ray, ambil darah serta fisioterapi. Contohnya Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di Titiwangsa.
Klinik yang mengambil alih fungsi klinik pesakit luar Hospital Kuala Lumpur (HKL) ini memang menjadi tumpuan ramai. Walau pun ramai pesakit, tempuh menunggu tidak terlalu lama kerana ada berpuluh doktor bertugas setiap hari.
Tentunya faktor penting yang diambil kira oleh pesakit ialah kos di klinik kerajaan jauh lebih murah. Warga emas percuma. Di klinik swasta rawatan biasa pun mencecah puluhan ringgit. Jika melibatkan X Ray atau ambil darah kos boleh menceccah ratusan ringgit.
Atas faktor inilah klinik kesihatan kerajaan menjadi pilihan ramai. Situasi ini menyebabkan sambutan untuk klinik swasta menjadi agak suram, kecuali mungin rangkaian klinik yang memang telah terkenal. Atau pada waktu di mana klinik kesihatan ditutup.
Klinik di kawasan luar bandar mungkin lebih suram kerana luar bandar telah dilengkapi dengan perkhidmatan klinik kerajaan yang terbaik. Terdapat klinik kerajaan di merata tempat, atau sekurang-kurangnya klinik desa.
Dalam situasi ini tidak hairan banyak klinik swasta ditutup kerana kurang sambutan atau tidak mampu menghadapi persaingan sengit. Lalu wajarkah membina klinik baharu dalam pasaran yang sudah suram?
Barangkali kaedah alternatif yang boleh dilakukan ialah daripada membuka klinik baharu, lebih baik untuk Mara menyediakan bantuan pinjaman kepada pemilik klinik sedia ada. Ini akan membolehkan klinik berkenaan membesarkan perniagaan dan dalam proses itu menyerap doktor baharu.
Ini lebih praktikal kerana klinik lama sudah mempunyai pelanggan tetap, berbanding klinik baharu. Ia juga akan memberi peluang kepada doktor baharu menimba pengalaman bekerja di klinik. Jika selepas itu ada keyakinan untuk berdikari, bolehlah buka klinik sendiri.
Sementara menyedari desakan doktor kontrak agar diserap ke jawatan tetap, mereka harus bersabar memberi peluang kepada kerajaan menyelesaikan masalah dihadapi. Sebelum ini pun ketika Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Kesihatan, pihak kementerian telah menyerap ramai doktor kontrak ke jawatan tetap. Usaha ini akan berterusan.
Tetapi perlu diingat perkhidmatan kerajaan, walau bagi jawatan apa sekali pun, mesti melalui prosedur, misalnya ada kekosongan dan peruntukan. Bukan boleh main sumbat, atau hari ini minta esok dapat.
Tidaklah perlu mengadakan mogok atau mengugut meletak jawatan bagi yang sudah diserap sebagai doktor kontrak. Apa manfaatnya? Bijakkah ugutan sedemikian? Elok-elok ada jawatan hendak berhenti pula. Kerajaan pun bukan hanya hendak memikirkan hal doktor. Banyak pekerja displin lain yang juga memerlukan pekerjaan.
Dalam pada itu kerajaan perlu meneliti dengan serius isu terlalu banyak graduan perubatan dalam usaha mengekang ramai doktor tidak diserap. Hampir semua universiti awam menawarkan kursus perubatan. Beberapa universiti swasta juga menawarkan kursus sama.
Bayangkan berapa ramai lulusan perubatan universiti awam dan swasta setiap tahun. Angka ini terus bertambah menyebabkan isu doktor kontrak tidak diserap semakin serius. Oleh itu wajar bekukan pengambilan pelajar perubatan untuk sementara waktu, atau kurangkan pengambilan. Usaha ini mungkin dapat membantu.
Suatu ketika dahulu bidang perubatan dianggap kritikal memandangkan negara memerlukan lebih ramai doktor. Pelajar cemerlang digalak mengambil kursus perubatan. Tetapi keadaan sekarang sudah berubah. Maka sesuaikanlah keperluan sejajar perubahan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

