SKUAD bola sepak Bawah 22 (B-22) Malaysia bermula cemerlang dalam aksi pertamanya di kejohanan Sukan SEA (SEA Games) 2023 di Stadium Prince, Phnom Penh apabila menewas Laos dengan jaringan besar 5 -1.
Walaupun tidak disertai pemain bertaraf bintang, Arif Aiman Hanapi, skuad bimbingan jurulatih E. Elavarasan tidak menunggu lama untuk mencemaskan pasukan lawan melalui jaringan Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-4.
Bagaimanapun, pemain pertahanan dari Terengganu FC itu kemudiannya membuat kesilapan di dalam kotak penalti apabila gagal menampan bola sepakan lawan dengan tepat pada minit ke-21 sehingga bola termasuk ke jaring sendiri dengan keadaan terikat 1-1.
Laos pula kemudiannya membuat kesilapan yang sama apabila pemainnya, Anantaza Siphongphan menjaringkan gol sendiri pada minit ke-28 selepas tertampan bola hantaran Safwan Mazlan dan seterusnya memboleh Malaysia mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.
Tindakan Elavarasan memasukkan Syahir Bashah membuahkan hasil apabila dia berjaya mencetak namanya selaku penjaring dengan menyudahkan umpanan seorang lagi pemain gantian, Fergus Tierney.
Kemasukan beberapa pemain gantian dilihat berjaya mengubah corak permainan Harimau Malaya dengan Tierney hampir menambah gol keempat pada minit ke-80, namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol.
Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal yang turut masuk sebagai pemain gantian juga tidak mengecewakan apabila meledak gol keempat pada masa kecederaan sebelum kemenangan bergaya skuad negara dilengkapkan dengan gol sendiri pemain Laos, Phoutthavong Sangvilay.
Kemenangan ke atas Laos sudah pasti menjadi tonik terbaik buat barisan pemain muda negara yang akan berdepan tugas getir menentang pasukan pilihan, Thailand di gelanggang sama, Sabtu ini.
Terdahulu, Vietnam yang meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Singapura 3-1, hari ini memimpin Kumpulan B dengan mengumpul enam mata, manakala Malaysia yang baru beraksi satu perlawanan berkongsi tiga mata bersama Thailand.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

