PENGERUSI Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki bersama tiga yang lain terbabit kemalangan sebelum terbalik di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1) petang tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang di Kilometer 127.7 LPT 1 arah Kuantan, dekat Temerloh itu, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai hanya cedera ringan.
Memetik laporan Berita Harian, selain Hanafiah dan pemandunya, Zubairi Zahari, turut berada dalam kenderaan jenis Land Rover itu adalah dua rakan kepada ADUN berkenaan.
Menurut Zubairi, ketika kejadian kenderaan dipandunya berada di lorong sebelah kanan, sebelum sebuah lori membawa muatan buah-buahan tiba tiba memasuki lorong sama dari sebelah kiri.
“Lori terbabit tidak memberi sebarang isyarat dan menghimpit kenderaan yang saya pandu menyebabkan kenderaan kami hilang kawalan lalu terbalik.
“Saya dan dua penumpang lain hanya cedera ringan, manakala Hanafiah yang duduk di bahagian mengadu sakit pada bahagian belakang badan.
“Hanafiah ketika ini sedang mendapat rawatan di Kuantan Medical Centre (KMC) dan kami semua bersyukur terselamat dalam kemalangan itu,” katanya.
Sementara itu, Hanafiah berkata, beliau dan pemandunya serta dua rakannya bersyukur terselamat dan mengalami kecederaan kecil selepas terbabit kemalangan itu.
Menerusi catatan Facebook, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan mereka.
“Alhamdulillah, tiada kecederaan yang serius. InsyaAllah, saya akan terus berkhidmat buat rakyat,” katanya.

