Siri 3: Perbezaan kalimah “Yatafakkarun” “Ya’qilun” “Yatadabbarun” dan “Ya’lamun” dalam al-Quran

Dari Penulis

Ditanya lagi tentang tafsiran kata penutup bagi kedua-dua surah ini yang menggunakan istilah Yatafakkarun (bagi orang yang memikirkan) dalam surah an-Nahli dan Ya’lamun (sekiranya mereka mengetahui) bagi al-Ankabut, menurut Pensyarah Jabatan al-Quran dan as-Sunnah, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS), Sahlawati Abu Bakar,

Yatafakkarun membawa maksud lebih dalam berfikir. Manakala Ya’lamun pula merupakan proses asas di mana semua orang boleh mengetahui sesuatu perkara yang disebutkan tanpa perlukan proses yang lain.

“Dalam istilah fikir, proses ini memerlukan pemikiran yang mendalam dan ia perlu mencari jawapannya dengan tuntas. Berbeza pula dengan mengetahui. Dalam cakupan istilah ini, ia tidak perlu mencari jawapan kerana ia bersifat umum dan boleh diketahui sesiapa sahaja waima orang biasa.

“Dalam al-Quran, istilah-istilah sebegini banyak digunakan Allah dalam memberi gambaran terhadap apa yang diperkatakan. Dan istilah ini menjadi kata kunci menepati dengan maksud sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut,” terangnya.

Selain dua istilah ini, terdapat juga istilah lain yang digunakan bagi menjawab segala inti pati ayat-ayat tertentu antaranya istilah Ya’qilun dan Yatadabbarun. Istilah Ya’qilun merujuk kepada tingkat atas selepas yatafakarun, kerana ya’qilun adalah satu proses menggunakan akalnya untuk berfikir dan bertindak hasil dari penaakulan terhadap sesuatu.

Baca juga: siri 2: Ini sebab kenapa Allah samakan orang kuffar dengan sarang labah-labah

Manakala tingkat yang lebih tinggi lagi sesudah ya’qilun adalah yatadabbarun. Proses Yatadabbarun merupakan proses yang lebih mendalam meliputi aspek pemikiran dan amalan.

Akuinya lagi, dalam konteks al-Quran, hujung ayat atau hujung sesuatu kisah, Allah akan menutupnya dengan kesimpulan dari segala kisah yang disebutkan. Apabila membaca ayat tersebut, istilah atau ayat terakhir sesuatu kisah itu akan mengukuhkan lagi ceritanya.

Contoh paling mudah sekiranya ayat tersebut berkisarkan tentang orang yang berdusta atau bercakap bohong.  Di akhir ayat tersebut pasti Allah akan menutupnya dengan sifat-sifat seperti

“Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui dalam semua hal termasuk dalam hati orang.”

Oleh itu dalam konteks ini, peringkat pertama kefahaman seseorang terhadap al-Quran adalah Ya’lamun. Kemudian ia disusuli dengan Yatafakkarun. Sesudah itu Ya’qilun dan yang terakhir adalah Yatadabbarun.

Tegas Sahlawati, wahyu al-Quran diturunkan sesuai untuk semua peringkat. Justeru itu, untuk menentukan di mana peringkat kita, hanya kita sendiri yang menentukannya. Sekiranya kita merasakan kita hanyalah orang di peringkat ya’lamun maka hanya ya’lamun sahaja yang kita dapat.

Akan tetapi jika kita meletakkan diri kita di peringkat yatafakkarun, kita akan berusaha untuk berfikir lagi. Maka itu ayat-ayat ini turun dengan melihat di mana kita meletakkan diri kita.

Dalam kata yang paling mudah, dalam surah an-Nahl ini, jika kita letakkan diri kita di peringkat Ya’lamun, kita hanya sekadar tahu bahawa madu itu datangnya dari lebah. Tetapi jika kita letakkan diri kita di peringkat Yatafakkarun, sudah pasti kita akan berfikir dengan lebih tuntas tentang sifat dan kehebatan yang dimiliki oleh lebah terutama habitat hidupnya.

Dan jika kita letakkan diri kita di peringkat ya’qilun, sudah pasti kita akan menjadikan habitat hidup lebah sebagai inspirasi dan panduan hidup kita untuk meraih cinta dan keredaan Allah. Ini yang membezakan kita dengan hamba Allah yang lain.

Al-Quran beri kesan

Dalam masa yang sama, al-Quran ini walau apa pun jua, ia perlu dibaca kerana kalimah-kalimah Arab itulah yang akan memberi kesan pada diri kita. Walaupun ada sesetengah orang yang hanya membaca terjemahan sahaja, dengan alasan ia faham isi kandungan al-Quran, namun itu tidak mendatang kesan pada diri. Melainkan ia membaca nas perkataan Arab walaupun tidak difahami.

Sudah pasti setiap yang dibaca itu memberi manfaat dan syafaat dari Allah sebagaimana dalam hadis Baginda s.a.w.

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah maka untuknya diberi satu hasanah. Dan satu hasanah itu adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata bahawa Alif Lam Min itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR Tirmizi)

Sememangnya ayat-ayat tentang lebah, labah-labah, semut dan banyak lagi binatang-binatang yang Allah sebutkan dalam al-Quran, bukanlah sekadar penglipur lara atau tertumpu pada kekuasaan Allah menciptakan keajaiban haiwan tersebut. Akan tetapi lebih dari itu, sebenarnya Allah ingin kita melihat bahkan menjadikan sifat kedua binatang ini sebagai panduan dan pengajaran kita dalam hidup.

Jangan sesekali meremehkan haiwan-haiwan waima seekor serangga. Ia aspek hidup yang perlu kita perhati dan pelajari. Ini juga merupakan satu sudut di mana Allah meraikan ciptaan Nya. Sifat-sifat serta ciri-ciri haiwan ini begitu hebat hingga Allah menukilkannya dalam al-Quran. Bermakna darjatnya tinggi apabila ia disebut dalam al-Quran. Sebagai manusia yang punyai akal fikiran ambillah contoh mana yang baik untuk teladan kita. Wallahu a’lam

_______________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pengurusan Islam Malaysia Diiktiraf di Mekah, Dr. Zulkifli Bawa Suara Negara ke Pentas Global

MALAYSIA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa pemikir dalam dunia Islam apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),...

More Articles Like This