Somebody’s Pleasure kisah jejaka yang diselebungi badai – Aziz Hedra

Dari Penulis

Penyanyi Indonesia, Aziz Hedra ternyata selesa memilih cara menyanyikan lagu ‘cover’ sehingga kewujudannya di sosial media mendapat perhatian dari label rakaman Sony Music Entertainment Indonesia.

Kini, Aziz tampil dengan single pertama dalam bahasa Inggeris berjudul Somebody’s Pleasure.

Menurut Aziz yang telah menulis lagu tersebut setahun lalu, pada mulanya, dia tidak merancang untuk melancarkan Somebody’s Pleasure di platform media sosial.

Namun ketika memikirkan tentang kemunculan single sulung, jejaka kelahiran Jakarta itu membuat keputusan untuk menukar susunan asal lagu terbabit daripada piano instrumental kepada format lagu penuh.

“Lagu ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang sedang berada dalam situasi terendah, kadang-kadang, kita melalui fasa di mana kita harus bersusah payah dalam pelbagai aspek kehidupan, namun begitu masalah masih belum selesai. Semuanya datang serentak umpama dilanda badai.

“Namun begitu, kita harus ingat bahawa kita tidak seorang dalam kehidupan, kita ada keluarga dan rakan-rakan yang sedia membantu. Lagipun, semua orang ada masalah masing-masing, jadi, jangan sesekali fikir masalah kita yang paling besar.

“Mungkin apa yang dialami setiap orang itu berbeza, tapi sesuai dengan kemampuan masing- masing.

“Kesimpulannya, jangan biarkan diri kita hanyut dalam masalah, usahalah untuk cari jalan keluar,” kata Aziz yang meminati muzik genre Pop dan R&B.

Memiliki minat yang mendalam terhadap muzik sejak kecil, Aziz gemar mengekspresikan perasaannya menerusi lagu-lagu cover di YouTube dan TikTok. Dia sangat bersyukur kerana rakan-rakan dan keluarganya merupakan peminat tegar yang tidak henti memberikan sokongan.

“Saya gembira dan bangga kerana dapat menyertai label Sony Music Entertaiment. Saya berpeluang untuk bekerja dengan pasukan yang berpengalaman dalam bidang muzik… mereka sangat mudah memberi kerjasama.

“Dengan penglibatan ini, saya harap dapat menghasilkan lebih karya yang disukai ramai pada masa akan datang,”jelasnya.

Dalam pada itu, Aziz berkongsi tentang cabaran dalam menyanyikan lagu ‘cover’ berbanding lagu yang dihasilkan sendiri.

“Kalau saya menyanyi lagu ‘cover’, tentu ada cabaran tersendiri kerana saya perlu memberi karakter tersendiri pada lagu yang sudah diketahui ramai. Itulah yang selalu saya lakukan, saya akan cuba jadikan setiap lagu ‘cover’ menjadi versi saya sendiri.

“Jadi, untuk lagu sendiri ini, saya ada lebih kebebasan untuk melakukan pelbagai perkara yang diingini,” katanya lagi.

Menyedari ramai penyanyi lagu ‘cover’ turut mahu menjadi penyanyi profesional seperti dirinya, Aziz berkongsi tip buat mereka.

“Kepada anda yang mahu menjejak kaki ke industri muzik, teruskan meneroka diri sendiri dan belajar banyak perkara baru tentang muzik. Tak mengapa untuk rasa ‘insecure’ atau terlalu berfikir tentang sesuatu, tapi janganlah sampai ia menghalang anda daripada terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Justeru, Aziz berharap agar lagu Somebody’s Pleasure mendapat sambutan positif daripada orang ramai, tidak kira buat peminat yang sudah biasa mendengar suaranya sebelum ini, mahupun mereka yang baru pertama kali mendengar dia menyanyi.

“Saya amat berharap lagu ini disambut baik dan membawa kegembiraan serta kekuatan kepada ramai orang yang mendengarnya,” katanya mengakhiri bicara.

Lagu Somebody’s Pleasure boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Demi keselesaan peminat, konsert Homecoming Ella berpindah ke Setia Spice Arena pada 22 Ogos depan

BERITA baik buat pencinta muzik rock tanah air dan peminat tegar Ratu Rock Negara! Konsert berskala besar yang paling...

More Articles Like This