SEORANG penunggang motosikal ditemukan maut dalam longkang selepas hampir 18 jam terlibat dalam kemalangan, semalam.
Mayat lelaki berusia 40-an itu ditemukan dalam longkang berhampiran pejabat Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam kira-kira pukul 11.40 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah memaklumkan, mangsa yang merupakan pekerja sebuah syarikat swasta di Bukit Raja sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Menurut beliau, mangsa difahamkan menuju ke rumahnya di Seksyen 25, Shah Alam kira-kira pukul 5.40 pagi semalam.
“Setibanya di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan telah terjatuh ke dalam longkang.
“Kemalangan ini telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarudin memberitahu, proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Shah Alam, pagi tadi.
Beliau mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan chest injury due to motor vehicle crash.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini boleh tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspetor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

